ICM 2026 pacu mikroelektronik Sarawak

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA… Dato Sri Roland Sagah Wee Inn pada sidang media Persidangan Antarabangsa Mikroelektronik ke-38 (ICM 2026) di Pejabat Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Menara LCDA, The Isthmus, hari ini. Foto Adele Rissa

PETRA JAYA: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Persidangan Antarabangsa Mikroelektronik ke-38 (ICM 2026), sekali gus membawa persidangan berprestij itu kembali ke Malaysia selepas lebih 30 tahun dan membuka peluang memperkukuh sektor mikroelektronik serta semikonduktor negeri.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, penganjuran ICM 2026 akan menghubungkan kepakaran antarabangsa dengan bakat, penyelidikan dan industri tempatan ketika Sarawak sedang membangunkan ekosistem semikonduktornya.

“Bagi Sarawak untuk terus berdaya saing, kita bukan sahaja perlu mengikuti perkembangan teknologi, tetapi turut membangunkan bakat, penyelidikan dan kerjasama industri untuk menghasilkan teknologi itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Antarabangsa Mikroelektronik ke-38 (ICM 2026) di Pejabat Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Menara LCDA, The Isthmus, di sini, hari ini.

RAKAM KENANGAN… Dato Sri Roland Sagah Wee Inn (tengah) bersama Dr Fakhrul Zaman Rokhani (empat kiri) selepas sidang media Persidangan Antarabangsa Mikroelektronik ke-38 (ICM 2026) di Menara LCDA, The Isthmus, hari ini. Foto Adele

Beliau menjelaskan, kehadiran komuniti antarabangsa itu memberi peluang kepada profesional dan bakat muda Sarawak untuk berinteraksi secara langsung dengan pakar dalam bidang berkenaan, selain meneroka peluang pembelajaran, kolaborasi dan penyelidikan.

“Dengan membawa persidangan antarabangsa ini ke Sarawak, kita menghubungkan golongan profesional dan bakat muda kita secara langsung dengan kepakaran global.

“Ini juga sekali gus mewujudkan peluang untuk belajar, bekerjasama dan mengubah pengetahuan kepada peluang sebenar untuk Sarawak,” ujarnya.

Roland berkata, manfaat ICM 2026 bukan hanya dari segi ekonomi, tetapi turut merangkumi pembangunan bakat, pengetahuan baharu, kerjasama antarabangsa dan kolaborasi penyelidikan yang boleh menyumbang kepada pembangunan jangka panjang sektor elektronik dan teknologi negeri.

Sementara itu, Pengerusi Umum ICM 2026, Dr Fakhrul Zaman Rokhani berkata, persidangan itu turut memberi tumpuan kepada keperluan Sarawak untuk membangunkan teknologi sendiri, khususnya dalam bidang perkakasan yang menyokong kecerdasan buatan (AI).

Katanya, perkembangan AI yang pesat memerlukan perkakasan mikroelektronik yang mampu memberikan prestasi pengkomputeran lebih tinggi tanpa meningkatkan penggunaan tenaga secara berlebihan.

“Amat penting untuk kita menjadi pembangun teknologi, bukannya pengguna teknologi,” katanya.

Menurutnya, ICM 2026 akan melangkaui format persidangan akademik tradisional dengan menyediakan lima inisiatif utama, termasuk sesi khas teknologi baharu dalam mikroelektronik dan semikonduktor, sesi rentas komuniti IEEE, tutorial, bengkel serta demonstrasi secara langsung.

Katanya, tutorial berkenaan akan memberi peluang kepada pelajar dan jurutera muda untuk belajar secara langsung daripada pakar, manakala demonstrasi pula membolehkan peserta melihat sendiri aplikasi teknologi yang dibangunkan.

“Untuk memahami inovasi, ia bukan sekadar mendengar. Ia perlu dipraktikkan.

“Kita mungkin dapat melihat litar, sistem, prototaip, AI untuk pembinaan, AI bioperubatan dan pelbagai aplikasi lain di Kuching menerusi ICM 2026,” ujarnya.

Dr Fakhrul berkata, Forum Industri yang turut dianjurkan dalam persidangan itu penting bagi merapatkan jurang antara penyelidik dengan pemain industri dalam mengenal pasti masalah sebenar serta membangunkan penyelesaian yang boleh dimanfaatkan.

Katanya, ICM 2026 turut merancang lawatan teknikal industri pada 9 Disember bagi memberi peluang kepada delegasi antarabangsa melihat sendiri keupayaan industri dan teknologi yang dibangunkan di Sarawak.

Beliau berkata, penyertaan delegasi antarabangsa dari Amerika Syarikat, Kanada, Eropah dan negara lain juga berpotensi membuka ruang kepada kerjasama baharu serta minat pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) Sarawak.

Persidangan itu turut menampilkan Bengkel Sino-Malaysia, Bengkel Piawaian CASS dan Forum Industri CAS bagi memperluas penglibatan industri, perkongsian pengetahuan serta kerjasama antarabangsa.

ICM 2026 dianjurkan oleh Persatuan Litar dan Sistem Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE CASS), dengan IEEE CASS Malaysia Chapter sebagai penaja bersama kewangan serta penyumbang aktif dalam jawatankuasa penganjuran.

Persidangan itu berlangsung dari 7 hingga 10 Disember ini di Muzium Budaya Borneo dan dijangka menghimpunkan lebih 300 delegasi terdiri daripada penyelidik, jurutera, ahli akademik serta profesional industri antarabangsa.

Oleh Adele Rissa

Konsert Karnival SibuJaya 2026 ditunda

SIBU: Konsert Karnival SibuJaya 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 5 September ini ditunda berikutan keadaan jerebu rentas sempadan yang semakin