Data bersepadu pacu perancangan bandar pintar Sarawak

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak bercakap ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Sarawak di Kuching.

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menyatukan data daripada pelbagai agensi menerusi Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Sarawak bagi mempercepat perancangan pembangunan, termasuk pembangunan bandar pintar.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, data mengenai kawasan perumahan, daerah perniagaan, rangkaian perhubungan dan pengangkutan awam boleh dikongsi serta digunakan secara bersama melalui platform berkenaan.

“Data mengenai pelbagai taman perindustrian juga boleh diperoleh menerusi platform berkenaan, termasuk maklumat mengenai Taman Bioteknologi di Samarahan.

“Begitu juga dalam sektor pembuatan, kita mempunyai pelbagai taman perindustrian. Jadi, semua pihak boleh mendapatkan data mengenai taman perindustrian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Sarawak, di sini, hari ini.

SIMBOLIK Pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Sarawak disempurnakan oleh Premier Sarawak.

Beliau berkata, pihak luar turut boleh mengakses data tertentu sekiranya ingin menjalinkan kerjasama atau membangunkan projek di Sarawak.

“Sebagai contoh, pelabur yang ingin membangunkan kilang berkaitan biodiversiti boleh mendapatkan maklumat mengenai lokasi, keluasan kawasan dan sumber berkaitan sebelum membuat permohonan kepada kerajaan.

“Bagaimanapun, tidak semua data boleh diakses kerana terdapat perbezaan antara data umum dengan data strategik yang perlu dilindungi, khususnya maklumat berkaitan keselamatan.

“Data lain boleh kita kongsi untuk tujuan perancangan dan pembangunan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa keperluan melindungi data berkenaan turut berkait dengan kaedah data kerajaan disimpan, termasuk dalam sistem awan yang memerlukan sambungan isyarat bagi memastikan data boleh dicapai.

PREMIER Sarawak bersama tetamu kehormat lain hadir pada Majlis Pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Sarawak di Kuching.

“Yang penting sekarang ialah data yang disimpan di awan dan itu memerlukan isyarat satelit kita. Sebab itu, untuk masa depan, kita perlu merancang untuk mempunyai isyarat satelit kita sendiri.

“Sekurang-kurangnya kita mesti mempunyai enam konstelasi satelit supaya sentiasa berhubung antara satu sama lain dan dapat memperoleh data di bumi hampir sepanjang masa, 24 jam sehari, tujuh hari seminggu,” ujarnya.

Terdahulu, Abang Johari berkata, Sarawak menyasarkan pelancaran satelit nano pertama berasaskan teknologi CubeSat menjelang 2030, dengan teknologi itu berpotensi membentuk konstelasi satelit sendiri bagi mendapatkan imej bumi dan data geolokasi.

Untuk rekod, usaha pendigitalan kerajaan negeri bermula dengan penubuhan SarawakNet pada 2005, yang kini menghubungkan lebih 500 pejabat kerajaan di seluruh Sarawak.

Pusat data di Samarahan mula beroperasi pada 2014 sebagai pusat data sandaran kepada pusat data utama di Santubong.

RAKAMAN gambar kenangan sempena Majlis Pelancaran Platform Infrastruktur Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Sarawak di Kuching.

Pada 2018, SAINS menubuhkan Pusat Operasi Keselamatan Siber bagi memperkukuh perlindungan data kerajaan, diikuti pelaksanaan awan persendirian pada 2019 untuk menempatkan sistem dan data kerajaan.

Infrastruktur awan AI milik sendiri pula dibangunkan pada Oktober tahun lalu bagi menyokong inisiatif AI Kerajaan Sarawak.

Pelancaran Platform Infrastruktur AI Berdaulat Sarawak hari ini menjadi perkembangan terbaharu dalam usaha SAINS memperkukuh perlindungan data kerajaan negeri di bawah kerangka AI Berdaulat Sarawak.

Oleh Masrin Affirah