1.62 hektar belukar di Kampung Bawang Obor musnah terbakar

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba bertungkus lumus memadam kebakaran belukar. Foto Bomba Limbang

LIMBANG: Kawasan seluas 1.62 hektar musnah dalam kebakaran belukar di Kampung Bawang Obor semalam.

Ketua Bomba Zon Tujuh Limbang Ramlan Marajan berkata sepasukan anggota dikerah ke lokasi kejadian yang jauhnya 50 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang sebaik menerima panggilan kecemasan pada 3.03 petang.

“Setiba pasukan di lokasi, didapati berlaku kebakaran belukar berhampiran jalan raya utama dengan kawasan yang terbakar.

“Pasukan bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran saluran bantu mula daripada pam jentera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ramlan berkata operasi memadam kebakaran mengambil masa hampir dua jam dan operasi ditamatkan pada 4.30 petang.

Operasi dijalankan melibatkan lima anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Satu Awang Adani Damit dengan membabitkan dua kenderaan bomba. 

Oleh Adeng Edrus