KUCHING: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus berkembang seiring ledakan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital bagi memastikan graduan kekal relevan dengan keperluan industri masa hadapan.
Keperluan itu antara perkara utama yang diketengahkan menerusi CNET Industry Connect 2026: Focus Group Dialogue (FGD) bersama Industri yang menghimpunkan 22 panel jemputan daripada 19 organisasi dan agensi di Sarawak.
Program anjuran Centre of Networking (CNET), Politeknik Mukah (PMU) bertemakan ‘Future Digital Skills and TVET Transformation’ itu menjadi platform bagi mendapatkan pandangan langsung industri mengenai keperluan tenaga kerja masa hadapan, sekali gus memperkukuh kesepadanan program TVET dengan perkembangan dunia pekerjaan.
Pengarah PMU, Suhaili Aleh berkata, penglibatan aktif rakan industri penting bagi memastikan pembangunan program dan kompetensi pelajar sentiasa berpandukan keperluan sebenar pasaran kerja.
Katanya, hubungan lebih erat antara institusi pendidikan dan industri perlu diteruskan secara berstruktur supaya pelajar bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, malah mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah, berkomunikasi, bekerja dalam pasukan dan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi.
“Graduan masa hadapan perlu melangkaui penguasaan kemahiran teknikal semata-mata dengan turut memiliki kemahiran menyelesaikan masalah sebenar industri, komunikasi efektif, kerja berpasukan serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Dialog meja bulat itu dilaksanakan menerusi lima kumpulan perbincangan dengan tumpuan kepada kompetensi graduan, penambahbaikan program TVET sedia ada, peluang kolaborasi strategik, bidang kompetensi baharu serta pembentukan pelan tindakan pembangunan TVET berdasarkan keperluan industri.
Antara perkara yang mendapat perhatian ialah keperluan memberi pendedahan lebih awal kepada pelajar terhadap teknologi baharu seperti AI, keselamatan siber, pengkomputeran awan, Internet Benda (IoT), pusat data, automasi dan teknologi kreatif.
Wakil industri turut menekankan kepentingan pembelajaran berasaskan masalah sebenar supaya pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran teknikal dalam menyelesaikan cabaran yang wujud di tempat kerja.
Sehubungan itu, beberapa cadangan diketengahkan termasuk memperluas pelaksanaan projek pelajar bersama industri, memperkenalkan latihan industri yang lebih berstruktur serta meningkatkan penglibatan pakar industri sebagai penasihat kurikulum dan penilai projek.
Akses kepada pensijilan profesional dalam kalangan pelajar Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) turut dicadangkan bagi meningkatkan kompetensi dan daya saing graduan apabila memasuki pasaran pekerjaan.

Penglibatan 19 organisasi dan agensi daripada pelbagai sektor juga membuka ruang kepada pembentukan jaringan kolaborasi lebih kukuh antara institusi pendidikan dan industri, khususnya dalam pembangunan kurikulum, perkongsian kepakaran, projek bersama, latihan industri dan pendedahan kepada teknologi terkini.
Antara organisasi yang mengambil bahagian termasuk Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Swinburne University of Technology Sarawak Campus, Sarawak Skills Mukah, Centre of Technical Excellence Sarawak (CENTEXS), Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) serta Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak.
Majlis penangguhan dialog pada sesi petang dirasmikan Timbalan Pengarah Bahagian Kolaborasi Industri dan Komuniti (BKIK), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zuhaimi Zolkifli, selaku wakil Pengarah BKIK.
Ia turut dihadiri enam pengarah Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) Zon Sarawak.
Dapatan daripada FGD itu akan diterjemahkan kepada Laporan Akhir dan Pelan Tindakan Kolaborasi Industri-Institusi 2026–2028, selain menjadi asas kepada penerbitan e-buku dokumentasi program.
Inisiatif itu dijangka memperkukuh ekosistem kolaborasi industri-institusi serta memastikan pembangunan bakat TVET, khususnya dalam bidang rangkaian, pengkomputeran dan teknologi digital, kekal relevan, responsif dan berdaya saing selaras dengan tuntutan industri masa hadapan.
Oleh Afiq Sallehi





