DALAT: Berdasarkan perkembangan semasa Daerah Dalat dijangka akan mencapai imuniti kelompok (herd immunity) pada bulan Ogos 2021.
“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pegawai Daerah Kueh Lei Poh yang juga merupakan Pengerusi Pengurusan Jawatankuasa Bencana Dalat dan semua yang terlibat.
“Program vaksinasi telah berjalan lancar seperti dirancang. Dan moga kita akan mencapai imuniti kelompok seperti dijangkakan. Iaitu pada awal bulan Ogos akan diadakan suntikan dos kedua,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat Dato Sri Fatimah Abdullah.
Adalah difahamkan setakat 30 Jun, seramai 8,790 orang sudah menerima vaksin daripada sejumlah 11,468 yang telah mendaftar (sekurang-kurangnya 76.6 peratus menerima dos pertama).
Beliau berkata demikian ketika menjelaskan perkembangan terkini Program Imunisasi Daerah Dalat yang kini sedang giat dijalankan.
“Selain daripada di Pusat Pemberian Vaksin di Stadium Perpaduan Dalat (PPV Daerah Dalat) yang berjalan terus seperti dirancangkan. Selain daripada itu kita juga menggunakan kaedah ‘Outreach Team’ yang pergi ke rumah panjang di Ulu Baoh yang melibatkan 15 buah rumah panjang di sana, baru-baru ini. Apa yang saya kagum ada juga dikalangan mereka yang dahulunya tak mahu di vaksin tetapi kini minta divaksinkan,” kata Fatimah kepada media di Oya pada Rabu lepas.
Tambahnya, pendaftaran peringkat awal yang dijalankan bersama dengan ketua masyarakat agak pelahan, namun pada pusingan kedua ia terus meningkat.
“Pada peringkat awal agak dingin sambutannya, malah ada juga penuduk kampung yang layak mahu mendaftar kurang daripada 50 peratus, namun pada pusingan kedua ia terus meningkat dan setakat ini lebih 92.4 peratus yang sudah berdaftar,” ujarnya.
Beliau juga mendedahkan bahawa sejumlah 1,000 dos telah digunaka dalam sehari pada Ahad lalu yang merupakan tertinggi setakat ini.
“Ingin saya nyatakan bahawa pada hari Ahad lalu sejumlah 1,000 dos telah diberikan pada satu hari. Ia merangkumi dengan yang dilaksanakan di PPV Stadium Perpaduan dan pasukan ‘Outreach Team’ di Ulu Baoh. Ini semua adalah berkat kerja dan komitmen yang tinggi dari mereka yang terlibat dalam program vaksinasi ini. Justeru, saya percaya kita boleh mencapai ‘herd immunity’ pada Ogos atau pada minggu pertama semasa pemvaksinan dos kedua,” ujarnya lagi.
Tambahnya, pasukan outreach ini akan pergi ke Kampung Klid dan Narub pada 4 Julai menggunakan jalan air atau bot.
Sebelum ke Daerah Kecil Oya, Fatimah dan rombongan telah melawat dua buah projek di Pekan Dalat iaitu menaik taraf tempat letak kereta yang sudah siap dan kemudahan di Bazarnita Fatima Dalat.
Oleh HENRY B SIYU