SARIKEI: Pencarian seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun yang hilang selepas keluar ke kebun sawit berakhir dengan khabar gembira apabila mangsa ditemukan selamat kira-kira lima kilometer dari rumahnya, pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, Chali Mat, ditemukan oleh orang awam selepas dilaporkan hilang sejak 29 Ogos lalu.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan daripada penduduk kampung pada 6.58 pagi memaklumkan mangsa telah ditemukan dalam keadaan selamat.
“Kita menerima panggilan daripada orang kampung pada 6.58 pagi memaklumkan mangsa telah dijumpai oleh orang awam dalam keadaan selamat pada jarak kira-kira lima kilometer dari rumahnya.
“Pasukan bomba kemudian bergerak ke lokasi pada 7.42 pagi bagi mendapatkan maklumat berhubung penemuan mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Vincent berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga tersebut kemudian ditamatkan pada 8.30 pagi selepas mangsa diserahkan kepada ahli keluarganya.
Terdahulu, mangsa dilaporkan keluar dari rumah kira-kira 8.15 pagi pada 29 Ogos lalu untuk menuju ke kebun sawit, namun tidak kembali ke rumah.
Ketika keluar, mangsa memakai baju lengan panjang berwarna kelabu dan seluar panjang dan membawa sebilah parang panjang.
Usaha awal mencarinya dilakukan ahli keluarga, namun gagal sebelum laporan dibuat kepada pihak polis bagi mendapatkan bantuan.
Chali yang mempunyai masalah nyanyuk, rabun dan menggunakan cermin mata serta mengalami masalah pendengaran kemudiannya menjadi fokus operasi SAR yang melibatkan pencarian di kawasan kebun dan hutan berhampiran.
Sepanjang operasi tiga hari tersebut, pencarian turut melibatkan pihak polis, penduduk kampung, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Lubok Lemba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei.
Oleh Earl Anek




