KALI terakhir saya menulis mengenai perkembangan El Niño 2026/2027 ialah pada 14 Jun 2026, tiga hari selepas Pusat Ramalan Iklim, Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA), Amerika Syarikat, secara rasmi mengisytiharkan bermulanya fenomena tersebut.
Kini hampir tiga bulan telah berlalu. El Niño 2026/2027 telah melalui fasa pertamanya, Jun–Julai–Ogos (JJO), dan sedang terus mengukuh menuju fasa berikutnya.
Perkembangannya dijangka berterusan sehingga mencapai kemuncak pada penghujung tahun sebelum beransur lemah menjelang Mac–April–Mei (MAM) tahun hadapan.
Persoalan penting sekarang bukan lagi sekadar sama ada El Niño ini akan menjadi kuat. Perhatian kini tertumpu kepada sekuat mana ia akan menjadi, apakah kesannya kepada rantau kita, dan sejauh mana kita telah bersedia menghadapinya.
Dalam rencana ini, saya berkongsi perkembangan terkini di Lautan Pasifik, keadaan yang telah berlaku di rantau kita sepanjang JJA, serta apa yang boleh dijangkakan dalam beberapa bulan akan datang.
El Niño telah mencapai kategori kuat
Kemaskini terkini daripada pelbagai sumber menunjukkan El Niño ini terus mengukuh dan berpotensi berkembang menjadi episod yang sangat kuat atau ekstrem.
Menurut laporan Pusat Ramalan Iklim Amerika Syarikat, kebarangkalian El Niño ini mencapai kategori sangat kuat, dengan anomali suhu permukaan laut di rantau Niño3.4 melebihi 2.0°C, adalah sekitar 98 peratus.
Pada masa sama, laporan Bureau of Meteorology (BOM) Australia menunjukkan pemanasan di kawasan berkenaan telah mencapai sekitar 2.2°C pada awal Ogos, jauh lebihi tinggi dari 0.8oC paras kenaikan suhu semasa fenomena El Nino sebelum ini.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa El Niño 2026/2027 telah memasuki fasa kuat. Kandungan haba yang tinggi di bawah permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik juga dijangka memacu peningakatan suhu permukaan laut beberapa bulan akan datang, dan seterusnya menjadikan epsiod ini menjadi lebih kuat.

Sekiranya pemanasan di Niño3.4 terus meningkat sehingga menghampiri atau melepasi 3.0°C menjelang penghujung tahun, episod ini berpotensi menjadi antara El Niño terkuat pernah direkodkan.
Dalam keadaan sedemikian, istilah popular ‘super El Niño’ yang sering digunakan media mungkin mempunyai justifikasinya, walaupun istilah tersebut tidak digunakan dalam kajian saintifik El Niño.
Jerebu yang berlaku bukan sesuatu mengejutkan
Pada ketika ini, kita sedang berdepan dengan episod jerebu rentas sempadan yang dikaitkan dengan kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan serta bahagian selatan Sumatera, berdasarkan taburan tompok panas daripada pencerapan satelit.
Namun, sebahagian daripada jerebu yang dialami di sesuatu kawasan juga mungkin mempunyai sumber tempatan.
Beberapa kawasan di Sarawak dan Semenanjung Malaysia telah mengalami keadaan jerebu yang ketara dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras tidak sihat. Malah, minggu lalu dilaporkan lebih 500 sekolah di Sarawak ditutup apabila IPU meningkat melebihi paras 200.
Bagi saya, keadaan ini seakan-akan ‘ulang tayang’ kepada apa yang pernah kita alami ketika episod El Niño kuat sebelum ini, seperti 1997/98, 20215/16 dan episod-episod lain walaupun tidak kuat.
Apabila El Niño kuat berlaku, sebahagian besar kawasan selatan rantau Asia Tenggara lazimnya mengalami pengurangan hujan. Tanah dan tumbuh-tumbuhan menjadi semakin kering.
Tanah gambut kehilangan kelembapan dan menjadi lebih mudah terbakar. Apabila kebakaran berlaku dalam skala besar, asap boleh dibawa angin merentasi sempadan negara.
Sebab itulah hubungan antara El Niño, kemarau, kebakaran hutan dan jerebu perlu dilihat sebagai satu rantaian risiko yang boleh dijangka dan, sekurang-kurangnya sebahagiannya boleh dicegah.
JJO: Indonesia lebih kering, tetapi sebahagian Malaysia masih menerima hujan
Sepanjang Jun, Julai dan Ogos, banyak kawasan Indonesia, termasuk Kalimantan dan bahagian selatan Sumatera, mengalami keadaan lebih kering.
Menariknya, bahagian tengah Sumatera serta kawasan tengah dan selatan Semenanjung Malaysia masih menerima curahan hujan yang agak tinggi. Di Kuala Lumpur, misalnya, keadaan pada Julai lalu seolah-olah menyerupai bulan perantraan monsun iaitu April atau Mei apabila aktiviti perolakan tempatan kerap berlaku sehingga mencetuskan ribut petir dan banjir kilat.
Keadaan ini tidak semestinya bercanggah dengan pengaruh El Niño, malah konsisten dengan teori dan kefahaman pengaruh El Nino terhadap peredaran atmosfera dan corak suhu permukaan laut di rantau ini.
Kesan El Niño terhadap hujan di Asia Tenggara tidak berlaku secara seragam pada setiap tempat dan setiap bulan, dan boleh berubah mengingkut musim.

El Niño mempengaruhi peredaran atmosfera berskala besar menyebabkan hujan dan keadaan cuaca dipengaruhi oleh corak pencapahan dan penurunan atmosfera di rantau ini sebagai respons kepada peningkatan suhu di Lautan Pasifik yang mengubah corak peredaran atmosfera timur – barat Walker.
SON: risiko kekeringan, kebakaran dan jerebu masih tinggi
Memasuki fasa kedua, September–Oktober–November (SON), keadaan kering dijangka berterusan di Kalimantan dan bahagian selatan Sumatera.
Ini bermakna risiko kebakaran hutan dan tanah gambut masih tinggi. Selagi kawasan-kawasan ini kekal kering dan kebakaran berterusan, ancaman jerebu rentas sempadan juga belum berakhir.
Pada masa sama, kesan pengurangan hujan dijangka menjadi lebih ketara di beberapa kawasan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Sekiranya keadaan kering berpanjangan, risiko bukan sahaja melibatkan kebakaran hutan dan jerebu. Kita juga perlu bersedia menghadapi kemarau, tekanan terhadap sumber air, kesan terhadap pertanian serta peningkatan suhu dan tekanan haba.
DJF: risiko beralih ke utara Borneo
Apabila memasuki Disember–Januari–Februari (DJF), keadaan dijangka berubah. Kalimantan dan bahagian selatan Sumatera dijangka kembali menerima lebih banyak hujan. Justeru, ancaman kekeringan dan kebakaran di kawasan ini sepatutnya mula berkurangan.
Malah, di sesetengah kawasan, peningkatan hujan boleh membawa risiko banjir. Bahagian selatan Sarawak juga boleh mengalami keadaan lebih basah.
Namun, ini tidak bermakna kesan El Niño terhadap rantau kita telah berakhir. Sebaliknya, tumpuan risiko beralih ke bahagian utara Borneo. Utara Sarawak, Brunei dan Sabah berkemungkinan terus mengalami keadaan lebih kering daripada biasa.
Cuaca panas dan kekurangan hujan yang berpanjangan boleh meningkatkan risiko kekeringan, kebakaran hutan dan episod jerebu tempatan.
MAM: Sabah dan utara Semenanjung perlu berwaspada
Dalam fasa terakhir, Mac–April–Mei (MAM), El Niño dijangka mula beransur lemah. Namun, kesannya terhadap hujan dan suhu tidak semestinya hilang serta-merta.
Sabah berpotensi terus mengalami keadaan panas dan kering. Semenanjung Malaysia juga boleh mengalami keadaan lebih panas dan kering, khususnya di bahagian utara.
Ini bermakna walaupun perhatian dunia mungkin mula beralih apabila indeks El Niño menunjukkan penurunan, kesiapsiagaan di peringkat tempatan masih perlu diteruskan.

Kita pernah melalui keadaan ini
Corak yang sedang berkembang sekarang mempunyai persamaan dengan pengalaman lalu ketika episod El Niño kuat, khususnya 1997/1998 dan 2015/2016.
Kita pernah melihat bagaimana El Niño kuat boleh membawa kemarau berpanjangan, kebakaran hutan dan tanah gambut berskala besar, jerebu rentas sempadan, gangguan kesihatan dan pendidikan serta kerugian ekonomi yang besar.
Sebab itu, jika El Niño 2026/2027 benar-benar berkembang menjadi antara episod terkuat pernah direkodkan, kita tidak seharusnya menunggu sehingga kesannya menjadi kritikal sebelum bertindak.
Daripada reaktif kepada proaktif
Inilah persoalan yang paling penting. Pada hari ini, kemampuan sains iklim jauh lebih baik berbanding beberapa dekad lalu. Perkembangan El Niño boleh dipantau secara berterusan dan kebarangkalian berlakunya episod kuat boleh dikenal pasti beberapa bulan lebih awal.
Kita mempunyai pencerapan satelit. Kita boleh memantau tompok panas. Kita mengetahui kawasan tanah gambut yang berisiko tinggi. Kita mempunyai ramalan hujan bermusim. Kita juga mengetahui daripada pengalaman lalu bahawa El Niño kuat meningkatkan risiko kemarau, kebakaran dan jerebu di rantau ini.
Namun, apabila kebakaran besar dan jerebu berlaku, respons kita masih sering kelihatan reaktif dan bukannya proaktif. ASEAN telah mempunyai Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Namun, apabila episod jerebu teruk terus berulang, kita wajar bertanya sejauh mana mekanisme sedia ada benar-benar diterjemahkan kepada tindakan pencegahan yang berkesan di lapangan.
Ramalan El Niño enam hingga sembilan bulan lebih awal sepatutnya diterjemahkan kepada tindakan enam hingga sembilan bulan lebih awal — bukan tindakan selepas kebakaran besar berlaku.
Kawasan berisiko tinggi sepatutnya dikenal pasti lebih awal. Paras air tanah gambut perlu diurus. Pembakaran terbuka perlu dikawal dengan lebih ketat. Pasukan pemadaman dan sumber air perlu ditempatkan lebih awal di kawasan berisiko.
Pemantauan tompok panas perlu disusuli tindakan segera di lapangan. Kerjasama antara negara juga perlu digerakkan sebelum asap merentasi sempadan, bukan hanya selepas jerebu menjadi krisis serantau.
Bersediakah kita?
Persoalan kesiapsiagaan menjadi lebih penting dalam dunia yang semakin panas. Kajian saintifik menunjukkan bahawa perubahan iklim berpotensi mengubah ciri El Niño dan meningkatkan risiko kejadian El Niño ekstrem dalam iklim yang lebih panas.
Pada masa sama, peningkatan suhu global boleh memburukkan kesan kemarau dan kebakaran apabila keadaan kering berlaku.
Maka El Niño 2026/2027 bukan sekadar satu lagi fenomena iklim yang perlu kita lalui. Ia juga merupakan ujian terhadap kemampuan kita menggunakan ilmu sains, ramalan iklim dan pengalaman masa lalu untuk mengurangkan risiko sebelum sesuatu bencana berlaku.
Kita sudah mengetahui risikonya.
Kita mempunyai pengalaman 1997/1998 dan 2015/2016. Kita mempunyai sistem pemantauan dan ramalan yang jauh lebih baik. Dan kali ini, kita juga mempunyai amaran berbulan-bulan lebih awal.
Persoalannya: Bersediakah kita?
Prof Emeritus Dr Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia, dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau merupakan bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja I, Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



