PETRA JAYA: Malaysia diibaratkan sebagai sebuah keluarga besar yang memberi naungan kepada komponen-komponen wilayahnya, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, sepanjang 63 tahun Sarawak berada dalam Malaysia, begitu banyak kemajuan telah dicapai ke arah membentuk status ekonomi dan sosial yang moden serta progresif.
Namun, katanya, masih banyak perkara perlu diusahakan bagi membina masa depan Sarawak yang maju, inklusif dan mampan seperti digariskan menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
“Pada hari yang penuh bermakna ini, kita bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan Ke-69 dengan penuh rasa syukur bahawa Malaysia adalah ibarat sebuah keluarga besar yang memberi naungan kepada komponen-komponen wilayahnya,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2026.
Abang Johari berkata, kemajuan yang dicapai Sarawak tidak seharusnya menjadi titik akhir, sebaliknya perlu disusuli usaha berterusan untuk memastikan pembangunan negeri terus berkembang secara inklusif dan mampan.
Beliau berkata, semangat kebersamaan dalam Malaysia juga perlu diterjemahkan menerusi kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta pembangunan yang lebih adil dan seimbang.
Dalam perutusan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan Sarawak dan Sabah demi kesejahteraan rakyat.
“Saya yakin dan percaya dengan semangat menang-menang antara pemimpin Persekutuan dan Sarawak, dan Sabah, wilayah ini akan terus mengorak langkah untuk menjalani transformasi daripada sebuah ekonomi komoditi kepada ekonomi hijau berteknologi tinggi dan lestari di bawah lindungan payung Malaysia yang progresif dan stabil, insya-Allah,” katanya.
Sehubungan itu, Abang Johari menasihati rakyat terus menghargai keamanan dan keharmonian yang dinikmati selama ini serta memelihara perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat bersama-sama membina Sarawak yang akan menjadi kebanggaan kepada generasi akan datang sempena sambutan Hari Kebangsaan Ke-69.





