Lebih 2,000 titik panas dikesan di Kalimantan Barat

Facebook
WhatsApp
KEADAAN jerebu di Kalimantan. Foto Pontianak Post

PONTIANAK: Sebanyak 2,164 titik panas (hotspot) dikesan di wilayah Kalimantan Barat berdasarkan pemantauan satelit pada 27 Ogos 2026.

Kabupaten (Daerah) Ketapang menjadi kawasan dengan taburan titik panas tertinggi, iaitu sebanyak 1,402 titik.

Menurut akhbar Pontianak Post versi online, data itu disampaikan Koordinator Harian Pusat Pengendalian Operasi Penanggulangan Bencana (Pusdalops) BPBD Kalimantan Barat, Daniel, dalam taklimat pagi berkaitan pengendalian kebakaran hutan dan tanah (karhutla), Jumaat (28 Ogos).

Pemantauan satelit oleh BMKG dilakukan pada 27 Ogos, bermula 12.00 tengah malam hingga 11.00 malam WIB (waktu Indonesia Barat).

Daripada jumlah keseluruhan itu, 1,854 titik berada pada tahap keyakinan sederhana, 200 titik tahap keyakinan tinggi dan 110 titik tahap keyakinan rendah.

Ketapang merekodkan 1,402 titik panas, terdiri daripada 81 titik pada tahap keyakinan rendah, 1,218 sederhana dan 103 tinggi.

Kawasan yang mencatat jumlah titik panas berikutnya ialah Kubu Raya (196 titik), Kayong Utara (127), Melawi (112), Sambas (76), Sintang (70), Sanggau (62) dan Kapuas Hulu (50).

Sementara itu, Landak mencatat 24 titik, Sekadau (18), Mempawah (13), Bengkayang (tujuh) dan Singkawang (tujuh). Kota Pontianak pula tidak mengesan sebarang titik panas dalam pemantauan berkenaan.

Pemantauan menggunakan sensor VIIRS dan MODIS pada satelit NOAA-20, S-NPP, Terra dan Aqua. Titik panas menunjukkan kewujudan anomali suhu tinggi berbanding keadaan di kawasan sekitarnya, namun ia tidak semestinya menunjukkan berlakunya kebakaran.

Kawasan yang diliputi awan atau berada dalam zon yang tidak dapat dikesan satelit (blank zone) juga boleh menyebabkan titik panas tidak dikesan.

Di tengah-tengah jumlah titik panas yang tinggi, kesan jerebu masih dirasai di beberapa kawasan di Kalimantan Barat. Jarak penglihatan kurang daripada satu kilometer direkodkan di Kota Pontianak, Kubu Raya, Ketapang dan Mempawah.

Di Pontianak, jarak penglihatan pada 27 Ogos berada antara 0.3 hingga 0.8 kilometer dari pagi hingga petang. Mempawah sempat mencatat jarak penglihatan sekitar 0.7 kilometer, Kubu Raya 0.8 kilometer, manakala Ketapang mencapai 0.5 kilometer pada waktu pagi.

ICE rancang guna robot anjing

WASHINGTON: Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menggunakan robot menyerupai anjing dalam operasinya, lapor Agensi Akhbar