AgriCOP buka peluang masyarakat Engkilili ceburi pertanian moden

Facebook
WhatsApp
DR JOHNICAL Rayong Ngipa semasa menyempurnakan Majlis Penangguhan AgriCOP di Rumah Jefferson Rimong, Selindong Ulu, pada Jumaat. Foto: Jabatan Pertanian Bahsgian Sri Aman

ENGKILILI: Sektor pertanian tidak lagi wajar dilihat sekadar sebagai aktiviti untuk kegunaan sendiri, sebaliknya mampu menjadi bidang perniagaan yang berdaya maju dalam meningkatkan pendapatan dan taraf hidup masyarakat luar bandar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnical Rayong Ngipa berkata, masyarakat perlu melihat pertanian sebagai satu peluang ekonomi yang mempunyai potensi besar sekiranya diusahakan secara moden, terancang dan berasaskan teknologi.

Menurutnya, peserta program juga perlu memanfaatkan sepenuhnya bimbingan serta khidmat nasihat yang disediakan Jabatan Pertanian Sarawak bagi meningkatkan kemahiran dan produktiviti masing-masing.

“Pertanian pada masa kini bukan lagi sekadar aktiviti untuk kegunaan sendiri, tetapi mampu menjadi satu perniagaan yang berdaya maju.

“Justeru, saya menyeru para peserta supaya memanfaatkan sepenuhnya bimbingan dan khidmat nasihat yang diberikan oleh pegawai Jabatan Pertanian demi meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Penangguhan Program Jangkauan Komuniti Pertanian (AgriCOP) di Rumah Jefferson Rimong, Selindong Ulu, pada Jumaat.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengembangan, Freddy Paul Giang yang mewakili Pengarah Jabatan Pertanian Sarawak berkata, jabatan itu komited memperluaskan pemindahan teknologi kepada masyarakat melalui latihan, demonstrasi ladang dan khidmat nasihat teknikal.

Beliau berkata penggunaan teknologi moden seperti sistem fertigasi, mekanisasi dan pertanian pintar perlu dipertingkatkan bagi membantu petani meningkatkan produktiviti selain menghasilkan produk pertanian yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.

“Penggunaan teknologi moden bukan sahaja dapat meningkatkan hasil, malah membantu menjadikan aktiviti pertanian lebih cekap dan berdaya saing,” katanya.

Program AgriCOP merupakan antara inisiatif kerajaan Sarawak bagi menggalakkan penduduk setempat mempergiatkan aktiviti pertanian dan mengoptimumkan penggunaan tanah yang ada.

Pada masa sama, program berkenaan bertujuan melahirkan masyarakat luar bandar yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran dalam bidang pertanian moden, sekali gus membuka lebih banyak peluang menjana pendapatan serta memperkukuh ekonomi setempat.

Program yang berlangsung di Rumah Jefferson Rimong itu menghimpunkan sekitar 150 peserta daripada tujuh rumah panjang dan komuniti setempat.

Antaranya Rumah Jefferson Rimong, Selindong Ulu; Rumah Roland, Selindong Ili; Rumah Lau, Bua; Herman Dollah, Ketua Kampung Melayu Engkilili; Rumah Buja, Merbong Asal; Rumah John, Merbong Atas serta Rumah Simon, Sungai Menuang.

Sepanjang program, peserta turut mengikuti pelbagai ceramah dan sesi diseminasi berkaitan pertanian, termasuk pengenalan AgriCOP oleh Anatasha Bejut, teknologi tanaman kelapa sawit oleh Meramat, hal ehwal korporat oleh Gilliver, penggunaan racun serangga dan kulat oleh Chelester serta solusi tanaman komoditi dan sayuran oleh Spittcy Clive.

Sesi berkenaan memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi pertanian moden, amalan pertanian pintar, pengurusan tanaman serta peluang keusahawanan dalam bidang agro.

Turut hadir ialah Lembaga Pengarah Lada Malaysia, Nelson Mujah; Penolong Pengarah Unit Komunikasi Korporat, Badin Unor; Pegawai Pertanian Bahagian Sri Aman, Syahalizul Sulaiman dan Pegawai Menguasa Pejabat Pertanian Daerah Engkilili, Kho Thong Chiew.

Oleh Adi Safarman