TANJUNG MANIS: Program Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (SRBN) kini mula dinikmati oleh penduduk di Daerah Tanjung Manis.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, program tersebut adalah dilaksanakan oleh Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SEDC) untuk rakyat terutama di luar bandar.
“SRBN kini mula dinikmati oleh penduduk di daerah Tanjung Manis termasuk di Kampung Rajang, Kampung Bukit Kinyau dan diperluaskan ke Kampung Belawai dan Jerijeh.
“Kita akan memperluaskan rangkaian digital ini kepada luar bandar dan kita lihat yang telah Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg lancarkan di Long Terawan bulan Mac yang lepas, merupakan pendekatan Kerajaan Sarawak dalam inisiatif ekonomi digital ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual para pemberita ketika menjalankan tinjauan ke menara telekomunikasi di Kampung Rajang, pada Sabtu.
Katanya, Kampung Rajang merupakan satu daripada lokasi yang telah dipilih untuk membangunkan menara telekomunikasi dan dikhaskan untuk kampung ini sahaja.
“Program SRBN kini meliputi 150 kawasan terpilih di Sarawak merupakan salah satu usaha bagi mengatasi masalah capaian jaringan internet lemah yang berpanjangan.
“Melalui projek yang dilaksanakan oleh agensi pelaksana iaitu Sacofa, rangkaian jalur lebar semua sektor di DUN Kuala Rajang termasuk Tanjung Manis dapat menikmati sepenuhnya penyambungan digital,” ujarnya.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Kuala Rajang berharap projek ini digunakan sepenuhnya untuk tujuan yang lebih berfaedah.
“Jaringan kemudahan maya yang disediakan ini juga mampu menjadi platform penting untuk memperkasakan aktiviti disamping memberi peluang kepada penduduk untuk menjana sumber ekonomi dan pendapatan.
“Ini merupakan pendekatan Kerajaan Sarawak. Kalau kita lihat bukan sahaja di Kawasan N41 Kuala Rajang, tetapi seluruh negeri Sarawak, di mana memang kita tahu ada terdapat kawasan-kawasan walaupun di bandar mempunyai internet yang kurang memuaskan.
“Tetapi inilah harapan kita supaya dalam masa-masa yang akan datang kita dapat mempertingkatkan lagi jaringan internet ini,” katanya lagi.
Tambahnya, jaringan internet amat diperlukan masa sekarang terutama dalam bidang pendidikan.
“Dalam keadaan negara sedang berdepan dengan wabak pandemik Covid-19, guru-guru dan para pelajar memerlukan jaringan internet yang lancar untuk mereka saling berhubung bagi melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR),” tambahnya.
Oleh EARL ANEK