Surau Darussalam dirasmikan, penduduk Sungai Muroh nikmati kemudahan ibadah baharu

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir semasa merasmikan Surau Darussalam Kampung Sungai Muroh, Kabong hari ini. Foto: ADUN Kabong

KABONG: Penduduk Kampung Sungai Muroh kini dapat menikmati kemudahan ibadah yang lebih selesa dan kondusif susulan perasmian Surau Darussalam Kampung Sungai Muroh, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, kewujudan surau berkenaan bukan sahaja menyediakan ruang yang lebih baik untuk beribadah, malah berpotensi menjadi pusat penyatuan masyarakat setempat.

Beliau berkata, pembinaan Surau Darussalam merupakan hasil pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) menerusi projek ‘Bina Baru Surau Kampung Muroh’ dengan harga siling sebanyak RM500,000.

“Penubuhan surau ini melalui pelbagai peringkat dan proses sebelum akhirnya berjaya disiapkan untuk kegunaan penduduk Kampung Sungai Muroh.

“Walaupun mengambil masa yang agak panjang, hasilnya kini dapat dinikmati oleh masyarakat setempat dengan adanya sebuah kemudahan ibadah yang lebih selesa,” katanya semasa merasmikan Surau Darussalam Kampung Sungai Muroh, Kabong dekat sini hari ini.

Menurut Chee Kadir, rekod menunjukkan proses berkaitan projek berkenaan telah melalui beberapa peringkat pada November 2023, Februari 2024, Mei 2024 dan Ogos 2024 berikutan isu ketiadaan pihak yang berminat untuk mengambil projek berkenaan (No Taker) sebelum kontraktor dilantik.

Katanya, projek tersebut kemudiannya dianugerahkan kepada HK Enterprise pada 13 November 2024 sebagai tarikh mula, dengan tarikh siap asal ditetapkan pada 14 Oktober 2025.

“Bagaimanapun, berlaku kelewatan dalam pelaksanaan projek sebelum kerja-kerja pembinaan akhirnya berjaya disiapkan pada 9 Mac 2026.

“Dengan siapnya surau ini, saya berharap penduduk dapat memanfaatkan kemudahan yang disediakan sebaik-baiknya,” katanya.

Chee Kadir berkata, Surau Darussalam bukan sekadar tempat menunaikan solat berjemaah, tetapi turut boleh dimanfaatkan bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan, pengajian serta pelbagai program kemasyarakatan.

Beliau turut menyeru penduduk agar bersama-sama mengimarahkan surau berkenaan dan menjadikannya sebagai platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat.

“Surau ini hendaklah dijaga bersama supaya sentiasa berada dalam keadaan baik dan dapat digunakan oleh generasi akan datang.

“Lebih penting, kita mahu surau ini sentiasa hidup dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan bagi membolehkan projek pembinaan Surau Darussalam direalisasikan.

Menurutnya, pembinaan kemudahan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam menyediakan kemudahan asas dan keagamaan yang selesa kepada masyarakat, termasuk di kawasan luar bandar.

“Ini menunjukkan pembangunan bukan hanya tertumpu kepada kemudahan fizikal, tetapi turut mengambil kira keperluan masyarakat dari aspek keagamaan dan sosial,” katanya.

Majlis perasmian turut dihadiri Pemangku Pegawai Daerah Kabong, Hamimi Kassim; Jurutera JKR Daerah Saratok, Sandra Luna; Pegawai Agama Islam Bahagian Betong, Ustaz Helmie Saimie; serta Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK), Ulin Berody @ Tabor.

Oleh Adi Safarman

ICE rancang guna robot anjing

WASHINGTON: Agensi Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE) Amerika Syarikat (AS) merancang untuk menggunakan robot menyerupai anjing dalam operasinya, lapor Agensi Akhbar