LIMBANG: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah memperuntukkan sejumlah RM5 juta bagi melaksanakan kerja pendawaian baharu, kemudahan penghawa dingin, pembinaan surau dan tandas awam di kemudahan Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Tedungan Limbang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu ,projek ini adalah untuk memberi keselesaan kepada petugas Jabatan Imigresen di pintu sempadan Malaysia dan Brunei dijangka siap sepenuhnya November nanti.
“Bagi mengelak perkara buruk berlaku, sistem pendawaian lama akan diganti baharu kerana yang lama sudah rosak.
“Keutamaan kita adalah untuk memastikan petugas di sempadan dapat bertugas dengan selesa dan selamat,” katanya ketika menyerahkan sumbangan barangan makanan kepada petugas barisan hadapan di sempadan Tedungan semalam.
Jelasnya, pihaknya juga sedang berusaha untuk mendapatkan sebuah lagi set janakuasa baharu seperti yang dipohon Jabatan Imigresen Bahagian Limbang (JIBL).
“Set janakuasa ini amat penting kerana CIQ Tedungan amat bergantung kepada kemudahan ini jika berlaku gangguan elektrik.
“Janakuasa yang lama hanya mampu bertahan selama tiga jam selain berdepan masalah lain dan kita minta pihak NRDA untuk berhubung dengan Sarawak Energy Berhad (SEB) sama ada memperbaiki atau mendapatkan janakuasa baharu,” tambahnya.
Ujar beliau, kemudahan ini penting bagi memudahkan mereka agar dapat bekerja dalam keadaan selesa dan selamat.
Sementara itu, Awang Tengah memaklumkan Program Pengagihan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 bagi Bantuan Bakul Makanan berjalan lancar.
Jelasnya, bantuan itu meringankan beban rakyat khususnya golongan B40 yang terkesan sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Tambahnya, lebih 9,000 Ketua Isi Rumah (KIR) dibantu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota dan lebih 4,000 KIR bagi DUN Batu Danau.
Turut hadir, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latip, Pegawai Daerah Limbang, Superi Awang Said, Pegawai Kesihatan Bahagian, Dr. Norliza Jusoh dan Ketua JIBL, Khalthom Ahmad.
Oleh ADENG EDRUS