Sarawak angkat muzik rock sebagai jenama, kata Barbaric

Facebook
WhatsApp
BARISAN artis utama RITC merakam kenangan bersama media selepas sesi beramah mesra sempena malam pertama konsert Rock In The City (RITC) malam ini. Foto Adele Rissa

KUCHING: Sarawak dipuji kerana mengangkat muzik rock sebagai satu jenama menerusi penganjuran konsert ‘Rock in the City’ (RiTC) yang memberi ruang kepada penggiat genre berkenaan untuk terus berkarya dan mendekati peminat.

Gitaris Barbaric, Joe Branko berkata, beliau gembira melihat muzik rock diberi pengiktirafan dan ruang yang lebih besar di Sarawak berbanding pengalaman mereka di Semenanjung.

“Sebenarnya, apabila bercakap mengenai Rock In The City, kita melalui zaman ketika muzik rock pernah dianggap tidak sesuai.

“Jadi, saya sangat gembira dengan kerajaan Sarawak kerana mengangkat rock itu sebagai satu jenama. Di sini, muzik rock diangkat sehingga menjadi satu festival,” katanya. 

JOE Branko bercakap pada sesi beramah mesra bersama media, malam ini. Foto Ryza Kamil

Beliau berkata demikian pada sesi beramah mesra bersama media sempana malam pertama konsert Rock In The City (RITC) di sini, malam ini.

Menurutnya, penganjuran RiTC bukan sahaja memberi ruang kepada kumpulan rock berpengalaman untuk kembali ke pentas, malah membuka peluang untuk mereka bertemu semula dengan peminat yang mengikuti muzik mereka sejak era 1990-an.

Mus berkata, beliau turut teruja untuk melihat sama ada peminat lama Barbaric di Sarawak masih mengikuti perjalanan kumpulan itu, selain mengenali peminat baharu.

“Kita nak tengok adakah peminat kita di Kuching masih ada lagi. Kita masih mengekalkan momentum walaupun dari segi umur sudah lebih 40 tahun.

“Jadi, masih ada lagi tak peminat yang pernah datang menonton kita sejak tahun 90an dahulu ataupun ada peminat baharu di sini? Itu antara perkara yang kita nak lihat,” ujarnya.

Joe Branko menambah, kumpulan itu terus bertahan dalam industri muzik selama hampir empat dekad hasil semangat dan hubungan erat yang dibina bersama.

Katanya, pengalaman selama hampir 40 tahun itu turut diterjemahkan menerusi muzik yang dibawakan kepada peminat, termasuk lagu-lagu berunsur ‘heavy metal’ yang sinonim dengan era 1990-an.

“Kita sudah berada dalam bidang ini selama hampir 40 tahun. Bila kita berkawan selama 40 tahun, ada sesuatu yang istimewa dan ada harapan di situ.

“Melalui itu, kita luahkan kepada orang ramai menerusi muzik,” jelasnya.

Sementara itu, penyelaras acara RiTC, Nur Linda Bara Abdullah berkata, penganjuran tahun ini tampil dengan konsep berbeza apabila lokasi acara beralih daripada suasana jungle di Kampung Budaya Sarawak (SCV) tahun lalu kepada suasana bandar di Kuching.

Bagaimanapun, katanya, konsep ‘jungle’ masih akan diteruskan pada masa akan datang, termasuk menerusi acara yang mungkin dianjurkan secara berselang tahun.

Beliau berkata, pihak penganjur juga menerima jemputan untuk meneroka kemungkinan membawa RITC ke luar Kuching, termasuk ke Miri.

“Kita baru sahaja dijemput untuk merancang sesuatu di luar Kuching, iaitu di Miri. Sebelum ini memang sudah ada perancangan untuk mengadakan acara ini di luar Kuching.

“Perancangan untuk membawanya ke luar Kuching memang ada dan ia merupakan sebahagian daripada rancangan kita,” katanya.

Setakat ini, lebih 500 tiket telah terjual bagi acara berkenaan, dengan jualan masih dibuka kepada peminat.

Penganjur turut berharap konsert berjalan lancar meskipun keadaan jerebu ketika ini, selain menyifatkan suasana berkabus yang terhasil sebagai sesuatu yang memberikan pengalaman tersendiri kepada penonton.

Turut hadir pada sesi tersebut ialah kumpulan post Peterpan, Post Mortem Education, Secret Signal, Senseless, Fearless. 

Oleh Adele Rissa 

Vokalis BPR Joey meninggal dunia hari ini

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR) Johari Mat Rozekhi atau lebih dikenali sebagai Joey BPR, meninggal dunia di Hospital Kuala