SARATOK: Penduduk Kampung Kupang Hilir bakal menikmati kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat apabila projek menaik taraf jalan lorong sepanjang 310 meter di kampung berkenaan akan dimulakan dalam masa terdekat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, pelaksanaan projek itu memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan keperluan infrastruktur asas penduduk luar bandar terus diberi perhatian.
Beliau berkata, penyerahan tapak kepada kontraktor yang dilaksanakan semalam menjadi langkah penting sebelum kerja-kerja menaik taraf jalan berkenaan dimulakan.
“Projek ini adalah antara usaha untuk meningkatkan kemudahan asas di kawasan kampung, khususnya aspek perhubungan yang amat penting kepada penduduk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, jalan yang lebih baik bukan sahaja memberi keselesaan kepada penduduk, malah dapat meningkatkan tahap keselamatan serta memudahkan urusan harian masyarakat setempat.
Projek berkenaan dilaksanakan menerusi inisiatif Jalan Perhubungan Desa (JPD) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Sarawak.
Penyerahan tapak projek itu dilakukan oleh rombongan KKDW dan disambut Ketua Kaum Kampung Kupang Hilir, Jepri Johari bersama barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Mohamad Duri berkata, kejayaan merealisasikan projek berkenaan adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk penduduk, JKKK, KKDW serta agensi berkaitan.
“Saya berharap kontraktor dapat melaksanakan kerja dengan sebaik mungkin, mengikut spesifikasi yang ditetapkan dan dalam tempoh yang dipersetujui,” katanya.
Beliau turut berharap kerja-kerja pembinaan dapat dijalankan dengan mengambil kira keselamatan penduduk serta kelancaran pergerakan masyarakat sepanjang tempoh projek.
Sementara itu, Jepri berkata pihak kampung amat menghargai perhatian kerajaan terhadap keperluan infrastruktur di Kampung Kupang Hilir.
Katanya, peningkatan keadaan jalan tersebut sememangnya dinantikan penduduk kerana ia akan memberikan kemudahan yang lebih baik dalam menjalankan urusan seharian.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Mohamad atas usaha merealisasikan permohonan penduduk, selain berterima kasih kepada KKDW atas kelulusan projek berkenaan.
Dengan penyerahan tapak itu, penduduk Kampung Kupang Hilir kini menantikan projek tersebut disiapkan mengikut jadual demi menikmati kemudahan jalan yang lebih baik, selesa dan selamat.
Oleh Adi Safarman





