LONDON: Enzo Maresca memuji persembahan ‘luar biasa’ Rayan Cherki ketika Manchester City membelasah Crystal Palace 4-1 awal pagi tadi.
Pengurus City itu mengakui Cherki kecewa selepas tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama ketika kemenangan 2-1 ke atas Bournemouth pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.
Namun, pemain tengah Perancis itu membalas kekecewaan tersebut dengan penuh bergaya.
Dia masuk sebagai pemain gantian dan menyumbang dua bantuan gol ketika menentang Bournemouth sebelum menggunakan peluang untuk beraksi dalam kesebelasan utama di Selhurst Park dengan persembahan cemerlang yang menyerlahkan kualitinya.
Pemain berusia 23 tahun itu meledak dua gol selepas gol sendiri penjaga gol City, Gianluigi Donnarumma, menyamakan kedudukan selepas Erling Haaland membuka jaringan dalam hujan lebat di selatan London.
Haaland kemudian menjaringkan gol kedua pada penghujung perlawanan untuk melengkapkan kemenangan kedua berturut-turut City di bawah kendalian Maresca.
Maresca turut memuji kemampuan Cherki menggabungkan kreativiti dalam serangan dengan tugasan menyekat pemain tengah Palace, Adam Wharton.
“Persembahannya ketika tidak menguasai bola sangat luar biasa. Semua orang tahu kualitinya, tetapi apabila dia bekerja keras tanpa bola, dia benar-benar membantu pasukan.
“Dia ditugaskan mengawal Wharton dan berjaya menguasainya. Dia membantu kami dan akan terus membantu pada masa depan. Kami tahu dia pemain berkualiti.
“Saya fikir dia sangat bagus ketika bertahan tanpa bola dan bekerja dengan sangat keras,” kata Maresca.
Bagaimanapun, Cherki menganggap persembahannya masih jauh daripada tahap terbaik.
“Persembahan saya biasa-biasa sahaja. Pada separuh masa pertama, kami tidak menemui ruang dan saya bermain dengan buruk.
“Saya perlu menunjukkan kepada mereka bahawa saya mahu bermain dan menjaringkan gol. Lain kali saya mahu lebih banyak mengedarkan bola,” katanya.
Perangai Cherki yang penuh aksi di atas padang serta personalitinya yang agak sukar dijangka di luar padang sebelum ini mencetuskan laporan bahawa Pep Guardiola kurang yakin terhadap bekas bintang Lyon itu musim lalu.
Dengan Guardiola meninggalkan City pada penghujung musim lalu, Cherki berharap dapat menjadi antara tonggak utama era baharu di bawah Maresca.
“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Pep adalah satu kisah besar. Kini kami akan memulakan kisah yang baharu.
“Kami mahu membuktikannya dan itulah sebabnya kami berada di sini,” katanya.
City memulakan musim dengan baik di bawah Maresca dan bekas pengurus Chelsea itu berpuas hati dengan aksi agresif pasukannya ketika menentang Palace.
“Mungkin dalam lima atau 10 minit pertama, kami dapat melihat betapa sukarnya perlawanan ini. Padang ini sukar dan lawan juga kuat.
“Selepas 10 minit, kami mengawal permainan ketika menguasai bola dan ketika tidak menguasai bola, serta layak menang. Intensiti pasukan juga bagus,” katanya.
Jika City mahu merampas kejuaraan daripada juara bertahan Arsenal musim ini, Maresca sedar mereka memerlukan Haaland berada pada tahap terbaiknya di depan gol.
“Kami tahu Erling. Kami tahu apabila kami mencipta peluang, ia bagus untuknya. Kami cuba mencipta sebanyak mungkin peluang untuknya.
“Penting untuk bermula dengan cara yang betul bersama pengurus baharu. Ia satu perubahan besar. Anda boleh lihat di penghujung perlawanan betapa gembiranya penyokong.
“Kami gembira kerana mendapat tiga mata. Namun, sentiasa ada perkara yang boleh kami lakukan dengan lebih baik,” katanya. – AFP





