Kane sahkan rundingan lanjut kontrak bersama Bayern

Facebook
WhatsApp
PENYERANG Bayern Munich, #09 Harry Kane, memberikan reaksi sebelum perlawanan bola sepak Bundesliga divisyen satu Jerman antara FC Bayern Munich dan VfB Stuttgart di Munich, selatan Jerman.

MUNICH, Jerman: Penyerang Bayern Munich, Harry Kane mengesahkan bahawa beliau telah memulakan rundingan untuk melanjutkan kontraknya bersama juara Jerman itu melepasi 2027.

Bercakap kepada pemberita selepas Bayern mencatat kemenangan bergaya 5-1 ke atas Stuttgart di laman sendiri dalam aksi pembukaan musim Bundesliga, Kane berkata rundingan mengenai lanjutan kontraknya sudah bermula.

“Pertemuan pertama berlangsung minggu lalu,” kata Kane.

Penyerang berusia 33 tahun itu merupakan antara calon pilihan untuk memenangi Ballon d’Or yang akan dianugerahkan di kampung halamannya, London pada Ogos.

Kane berkata masih terdapat “banyak perkara” yang perlu dibincangkan, namun berharap dapat terus kekal bersama Bayern yang disertainya pada 2023 dari kelab zaman kanak-kanaknya, Tottenham.

“Saya berusia 33 tahun. Ini mungkin bukan kontrak terakhir saya, tetapi ia merupakan kontrak besar untuk saya tandatangani.

“Mereka perlu memastikan saya gembira. Mereka juga tentunya perlu memastikan mereka berpuas hati… Tiada sebarang tekanan daripada kedua-dua pihak.

“Saya yakin kami akan sampai ke satu tahap apabila kedua-dua pihak berpuas hati.”

Bayern sebelum ini berulang kali menyatakan hasrat untuk melanjutkan kontrak Kane bersama kelab itu, yang akan tamat pada penghujung musim ini.

Kapten England itu menjaringkan 36 gol dalam 31 perlawanan Bundesliga musim lalu, jumlah ketiga tertinggi dalam satu musim liga utama Jerman, selain membantu Bayern meraih kejuaraan berganda liga dan piala.

Secara keseluruhan, Kane menjaringkan 73 gol untuk kelab dan negara musim lalu, termasuk enam gol pada Piala Dunia ketika membantu England mara ke separuh akhir. – AFP