KUCHING: Sekitar 500 warga emas dari beberapa rumah kediaman dan pusat jagaan sekitar Kuching, Kota Samarahan, Kota Sentosa dan Bau bakal diraikan menerusi Jamuan Muhibah Warga Emas pada 5 September ini.
Program anjuran Lions International District 308-A2, Region 1 itu akan berlangsung di Raia Hotel Kuching dari 11.00 pagi hingga 3.00 petang.
Bekas Pengarah Antarabangsa Lions International, Datin Ellis Suriyati Omar berkata, program berkenaan diadakan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan terhadap warga emas atas sumbangan mereka kepada keluarga, komuniti dan masyarakat.
Menurutnya, jamuan itu juga mahu memberi ruang kepada warga emas untuk menikmati masa bersama dalam suasana santai dan menggembirakan, selain membuatkan mereka berasa dihargai serta terus dekat dengan masyarakat.

“Kita mahu mereka datang, menikmati jamuan dan bergembira bersama. Paling penting, kita mahu mereka tahu bahawa mereka sentiasa dihargai dan sumbangan mereka kepada keluarga serta masyarakat tidak pernah dilupakan,” katanya.
Menurutnya, penganjuran itu turut mendukung semangat Hari Warga Emas Antarabangsa yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun dengan memberi penekanan terhadap maruah, kesejahteraan, keterangkuman serta pencapaian golongan berkenaan.
Selain menikmati jamuan khas, setiap warga emas yang mengambil bahagian akan menerima beg cenderahati sebagai tanda penghargaan.
Pada masa sama, sebanyak 40 kerusi roda akan disumbangkan kepada warga emas dan pusat jagaan yang memerlukan, khususnya mereka yang berdepan masalah pergerakan.
“Bukan semua orang mampu membeli kerusi roda. Sebab itu, melalui sumbangan ini, kita berharap dapat meringankan beban mereka dan membantu warga emas menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa serta berdikari,” katanya.
Beliau berkata, sumbangan itu akan diberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bagi memastikan bantuan berkenaan dapat memberi manfaat kepada penerima.
Menurutnya, inisiatif itu bukan sahaja dapat membantu meningkatkan mobiliti dan kualiti hidup warga emas, malah mencerminkan usaha memastikan kebajikan golongan berkenaan terus diberi perhatian.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah dijadual hadir sebagai tetamu kehormat pada program berkenaan.
Program itu turut diadakan di bawah naungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Dato Miro Simuh.
Penganjuran Jamuan Muhibah Warga Emas itu mencerminkan komitmen berterusan Lions Clubs dalam berkhidmat kepada masyarakat, mengeratkan hubungan antara generasi serta memastikan warga emas terus dihargai dan dihormati atas sumbangan mereka sepanjang hayat.
Antara penaja bersama utama program ialah OBYU Foundation, Bintulu Port Holding, PJP Barisan HCM JV Sdn Bhd, Cahya Suria Services Sdn Bhd dan Lions Club of Penang Outreach.
Oleh Norman B




