Tiga kediaman baharu bawa sinar harapan kepada mangsa kebakaran

Facebook
WhatsApp
FRIDAY Belik hadir pada simbolik penyerahan kediaman menerusi BEKR kepada penerima dalam satu majlis ringkas hari ini. Foto: ADUN Krian

SARATOK: Penyiapan dan penyerahan tiga kediaman baharu kepada keluarga yang terjejas akibat kebakaran pada 2022 dan 2024 membawa makna besar apabila mereka kini kembali memiliki tempat berlindung yang lebih selesa untuk meneruskan kehidupan.

Kediaman di Rumah Basih, Awik dan Ulu Sebetan itu masing-masing disiapkan menerusi Program Bantuan Ehsan Kebakaran Rumah (BEKR) sebelum diserahkan kepada penerima dalam satu majlis ringkas hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik berkata, penyempurnaan ketiga-tiga rumah berkenaan bukan sekadar menyediakan sebuah bangunan baharu, sebaliknya memberi ruang kepada keluarga terbabit untuk bangkit semula selepas kehilangan kediaman akibat bencana.

Menurutnya, bantuan pascabencana amat penting bagi memastikan keluarga terjejas dapat melalui proses pemulihan dengan lebih baik serta meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa.

“Penyempurnaan ketiga-tiga rumah ini membawa makna yang besar kepada penerima kerana bantuan pascabencana bukan sekadar menyediakan sebuah bangunan, tetapi membantu keluarga terjejas mendapatkan semula tempat berlindung dan meneruskan kehidupan dalam keadaan lebih selesa,” katanya.

Tiga penerima terbabit, Meringai dari Rumah Basih, Awik, serta Jeti dan Luat dari Ulu Sebetan.

Friday berkata, ketiga-tiga penerima turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas bantuan dan keprihatinan yang diberikan sehingga kediaman mereka berjaya disiapkan.

Program BEKR dilaksanakan menerusi peruntukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak sebagai usaha membantu mangsa kebakaran membina semula kediaman dan kehidupan mereka selepas dilanda bencana.

Beliau berkata, penyerahan rumah berkenaan turut memperlihatkan kepentingan tindakan susulan selepas sesuatu bencana, khususnya memastikan keluarga terjejas bukan sahaja menerima bantuan ketika kecemasan, tetapi terus mendapat sokongan sepanjang proses pemulihan.

Dengan siapnya ketiga-tiga kediaman itu, keluarga terbabit kini mempunyai tempat tinggal yang lebih sempurna, sekali gus memberi sinar baharu selepas melalui tempoh sukar akibat kehilangan rumah.

Turut hadir, Pegawai Daerah Saratok, Muhammad Dino Amid; wakil JKR Saratok, Ing Ng Chiu; Penghulu Loya Seman serta pihak kontraktor.

Oleh Adi Safarman