BETONG: Sebanyak 110 projek pembangunan direkodkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM206.11 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 40 projek atau 36 peratus telah siap, manakala dua projek atau dua peratus mendahului jadual.
Katanya, 10 projek atau sembilan peratus pula mengikut jadual, satu projek atau satu peratus berada dalam kategori lewat jadual kritikal, manakala 57 projek atau 52 peratus masih dalam perancangan.
“Dari aspek kewangan, jumlah keseluruhan peruntukan yang dibentangkan adalah sebanyak RM206.11 juta, dengan aliran tunai bagi 2026 berjumlah RM18.77 juta dan jumlah perbelanjaan direkodkan sebanyak RM24.33 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Projek Kawasan DUN Kabong di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Betong, semalam.
Mesyuarat itu menjadi platform bagi meneliti perkembangan dan status pelaksanaan projek pembangunan di kawasan DUN Kabong, termasuk pelaporan mengikut agensi pelaksana di bawah Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Chee Kadir berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) merekodkan jumlah projek tertinggi, iaitu 42 projek dengan peruntukan RM55.12 juta.
Daripada jumlah itu, dua projek telah siap, tujuh mengikut jadual, manakala 33 projek masih dalam perancangan, dengan jumlah perbelanjaan direkodkan sebanyak RM873,926.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mempunyai lapan projek bernilai RM39.14 juta, dengan satu projek telah siap, satu lewat jadual kritikal, dua mendahului jadual, satu mengikut jadual dan tiga masih dalam perancangan. Jumlah perbelanjaan direkodkan sebanyak RM2.11 juta.
Jabatan Pertanian (DOA) pula merekodkan prestasi pelaksanaan yang tinggi apabila 28 daripada 31 projek atau 90 peratus telah siap.
Dua projek DOA mengikut jadual dan satu lagi masih dalam perancangan, dengan keseluruhan peruntukan berjumlah RM23.50 juta serta perbelanjaan sebanyak RM14.60 juta.
Majlis Daerah Saratok (MDS) pula merekodkan 26 projek dengan peruntukan RM55.43 juta, terdiri daripada sembilan projek telah siap, manakala 17 masih dalam perancangan. Jumlah perbelanjaan ialah RM7.67 juta.

Tiga agensi lain turut merekodkan projek pembangunan masing-masing, iaitu Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB) dengan satu projek bernilai RM500,000, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dengan satu projek bernilai RM30 juta serta Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dengan satu projek bernilai RM1.1 juta.
Ketiga-tiga projek berkenaan masih dalam perancangan dan belum merekodkan perbelanjaan setakat pembentangan.
Menurut Chee Kadir, pemantauan secara berterusan penting bagi memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan mengikut jadual, selain mengenal pasti sebarang isu yang memerlukan tindakan segera serta penyelarasan antara agensi.
Katanya, pemantauan itu turut merangkumi kemajuan fizikal, jadual pelaksanaan dan prestasi kewangan bagi memastikan projek pembangunan yang dirancang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Pembentangan ini memberikan gambaran menyeluruh mengenai kedudukan projek BDDA di kawasan DUN Kabong dan menjadi asas kepada pemantauan berterusan bagi memastikan agenda pembangunan serta keperluan rakyat terus diberi perhatian,” katanya.
Mesyuarat turut dihadiri Pegawai Tadbir Khas BDDA, Abang Mohamed Abang Turkey, wakil Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Pejabat Daerah Kabong, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Betong, JKR, JPS, DOA, MDS, SEDC, SNDB dan SSC.
Oleh Adi Safarman



