BAM lantik Kok Siang, Pei Tty sertai barisan kejurulatihan kebangsaan

Facebook
WhatsApp
BEKAS pemain badminton kebangsaan Teo Kok Siang (kiri) dan Wong Pei Tty dilantik sebagai jurulatih beregu campuran dan beregu wanita, masing-masing berkuat kuasa 1 September ini.

KUALA LUMPUR: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan pelantikan bekas pemain kebangsaan Teo Kok Siang dan Wong Pei Tty dalam barisan kejurulatihan negara, berkuat kuasa 1 September ini.

Kok Siang dilantik sebagai jurulatih beregu campuran, manakala Pei Tty akan menggalas tugas sebagai jurulatih beregu wanita.

BAM dalam kenyataan memaklumkan pelantikan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan badan induk berkenaan untuk memperkukuh struktur kejurulatihan negara serta meningkatkan pembangunan dan prestasi pemain di pentas antarabangsa.

“Kembalinya kedua-dua jurulatih ini membawa pengalaman berharga serta pengetahuan mendalam mengenai program kebangsaan kerana mereka pernah menjadi sebahagian daripada barisan kejurulatihan BAM sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Kok Siang sebelum ini berkhidmat selama lima tahun sebagai jurulatih dalam program beregu remaja dan senior BAM sebelum meninggalkan badan induk itu pada 2022

Sementara itu, Pei Tty, bekas pemain nombor satu dunia yang mewakili Malaysia pada Sukan Olimpik Athens 2004 dan Beijing 2008, pernah berkhidmat sebagai jurulatih dalam sektor beregu wanita BAM sebelum meninggalkan badan induk itu pada 2020.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky berkata BAM akan mengumumkan ketua jurulatih beregu campuran pada masa akan datang.

“Namanya sudah ada (ketua jurulatih beregu campuran). Nanti BAM akan membuat pengumuman,” katanya. – Bernama