MIRI: Sebanyak 10,158 bahan iklan haram berjaya diturunkan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) menerusi operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan secara berterusan di seluruh kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan itu sehingga 26 Ogos lalu.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Majlis Bandaraya Miri, majoriti bahan iklan berkenaan membabitkan iklan peminjam wang tidak berlesen atau along yang dipasang secara haram pada tiang lampu, utiliti awam, papan tanda jalan, jejantas serta pelbagai kemudahan awam tanpa kebenaran.
MBM berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan selaras dengan Advertisement Bylaw 2012, yang memperuntukkan setiap pemasangan bahan iklan hendaklah memperoleh kelulusan atau permit yang sah daripada pihak berkuasa tempatan sebelum dipamerkan kepada orang awam.
“MBM akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MBM berkata pihaknya akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan lebih menyeluruh dan berkesan dapat dilaksanakan.
Orang ramai turut digesa supaya tidak berurusan dengan peminjam wang tidak berlesen yang sering menggunakan pemasangan iklan haram sebagai medium promosi dan modus operandi mereka.
MBM turut menggalakkan orang awam menyalurkan maklumat atau membuat aduan sekiranya mengesan aktiviti pemasangan iklan haram di sekitar bandar raya Miri.
Sekiranya ternampak individu sedang memasang bahan iklan haram, orang ramai diminta mengambil gambar atau rakaman yang boleh membantu siasatan, khususnya yang memaparkan nombor pendaftaran kenderaan dengan jelas, tanpa membahayakan keselamatan diri.
Maklumat dan bukti berkenaan boleh disalurkan kepada MBM atau agensi penguat kuasa berkaitan bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
MBM menegaskan usaha membanteras kegiatan pemasangan iklan haram dan peminjam wang tidak berlesen memerlukan komitmen serta kerjasama semua pihak bagi memastikan bandar raya Miri kekal bersih, selamat, teratur dan kondusif.
Oleh Liong Chai Ling




