KUCHING: Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan memantau perkembangan penerima Program Sejahtera MADANI menerusi laporan serta lawatan susulan bagi memastikan bantuan peralatan yang disalurkan benar-benar membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, penerima bantuan dikenal pasti berdasarkan data eKasih sebelum proses pemilihan dilakukan oleh ICU mengikut kesesuaian dan kelayakan masing-masing.
Menurut beliau, mekanisme pemantauan itu penting bagi menilai sejauh mana peralatan yang diterima dimanfaatkan oleh penerima dalam pekerjaan atau aktiviti ekonomi yang mereka jalankan.
“Mereka ada sistem dan dipercayai mereka akan memberi laporan untuk mengenal pasti berapa banyak yang diperolehi dan kalau ada mungkin tidak mencapai (sasaran), mungkin boleh diperbaiki.
“Jadi ini akan pantau oleh pihak ICU kerana tindakan susulan akan diadakan melalui lawatan kepada penerima,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Program Sejahtera MADANI: Peningkatan Pendapatan – Bantuan Peralatan di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Pandak, di sini, hari ini.
Nancy berkata, menerusi pemantauan dan lawatan berkenaan, pihak ICU juga boleh membantu penerima menerusi nasihat serta panduan supaya mereka dapat meningkatkan pendapatan dan seterusnya keluar daripada kitaran kemiskinan.
Beliau pada masa sama mengakui tidak semua penerima mampu mencapai peningkatan pendapatan yang disasarkan dalam tempoh singkat, mengambil kira pelbagai faktor termasuk kekangan masa dan komitmen pekerjaan.
Katanya, ada penerima yang perlu membahagikan masa antara aktiviti ekonomi dengan tanggungjawab pekerjaan lain, sekali gus memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk menggunakan sepenuhnya bantuan yang diterima.
“Kta perlu jadi realistik, ada di kalangan mereka belum dapat mencapainya, mungkin atas sebab-sebab tertentu, sebab faktor masa juga.
“Contohnya, mereka yang menerima peralatan untuk nelayan mungkin tidak dapat menggunakan masa sepenuhnya untuk pergi ke laut kerana mereka juga perlu menjalankan tugas-tugas yang lain,” katanya.
Program berkenaan merupakan inisiatif di bawah Parlimen P.193 Santubong dan menyasarkan Isi Rumah (IR) eKasih dengan bantuan disesuaikan mengikut pekerjaan serta aktiviti ekonomi penerima.
Seramai 14 penerima menerima bantuan peralatan dengan nilai keseluruhan RM70,000, membabitkan pelbagai latar pekerjaan termasuk mekanik automotif, nelayan, penjahit pakaian, tukang gunting rambut, peniaga dan penghantar perkhidmatan domestik (rider).
Sementara itu, bagi kawasan Zon Kuching, sebanyak RM515,000 telah dibelanjakan untuk bantuan peralatan meliputi pelbagai daerah di zon berkenaan, manakala RM1.49 juta diperuntukkan di peringkat negeri bagi bantuan kepada IR yang berdaftar dalam sistem eKasih di seluruh Sarawak.
Oleh Shahrul Qaizat




