Capaian internet di Lawas perlu dipertingkat – Awang Tengah

Facebook
WhatsApp
TERIMA KASIH... Julaihi menyampaikan cenderamata kepada Awang Tengah sebagai tanda penghargaan atas sokongan beliau terhadap usaha kementeriannya.

LAWAS: Masalah capaian internet di Lawas bukan sahaja menjejaskan aktiviti ekonomi, malah turut memberi kesan kepada urusan harian rakyat termasuk komunikasi serta penyampaian maklumat, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata, capaian internet kini menjadi satu keperluan utama seiring perkembangan teknologi dan penglibatan masyarakat dalam ekonomi digital, termasuk penggunaan pembayaran elektronik (e-payment).

“Ketika ini teknologi terus berubah dan kita terlibat dalam ekonomi digital seperti e-payment, namun masalah internet ini turut menjejaskan urusan seharian.

“Wartawan juga berdepan kesukaran untuk menghantar berita dan biasanya proses penghantaran menjadi tersekat-sekat. Jadi, ini merupakan antara langkah untuk kita mempertingkatkan lagi perkhidmatan internet yang merupakan satu keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) Pendigitalan Kesalinghubungan Limbang dan Lawas di Hotel Roxy, Lawas hari ini.

BERTEMU MEDIA…Awang Tengah bersama Julaihi dan Morshidi ketika sesi bersama media serta mendengar keluhan wakil rakyat dari Limbang dan Lawas berhubung masalah telekomunikasi.

Hadir sama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Pengangkutan Hasbi Habibollah, Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) dan Ahli Lembaga Sarawak Energy Berhad (SEB) Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani serta kenamaan lain.

Awang Tengah berkata, jalinan kerjasama antara SDEC dan SEB diharap dapat mempercepatkan pembangunan ekonomi digital serta pembangunan berasaskan teknologi digital di kawasan utara dan pedalaman Sarawak.

Menurutnya, usaha memperluas kesalinghubungan digital bagaimanapun berdepan cabaran, khususnya faktor topografi yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak, termasuk masyarakat setempat.

“Cabaran dari segi topografi memang ada dan ia memerlukan kerjasama serta penglibatan daripada pelbagai pihak, termasuk anggota masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, Awang Tengah merakamkan penghargaan kepada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak atas usaha mewujudkan Rangkaian Jalur Lebar Luar Bandar Sarawak (SRBN) bagi membantu penduduk di kawasan pedalaman menikmati capaian internet yang lebih baik.

Beliau berkata, usaha memperkukuh infrastruktur telekomunikasi dan kesalinghubungan digital penting bagi memastikan manfaat perkembangan teknologi dapat dinikmati rakyat, termasuk mereka yang berada di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Oleh Adeng Edrus