BAU: Polis Bau mengeluarkan 11 saman PDRM (K) 257 dalam rondaan dan pemantauan lalu lintas di beberapa lokasi sekitar daerah ini hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata, penugasan yang dilaksanakan oleh tiga anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau itu berlangsung dari 1.30 petang hingga 3.00 petang.
Menurutnya, rondaan meliputi Jalan Bau–Kuching, Jalan Bau–Serikin, Jalan Bau–Batu Kawa, Jalan Bau–Lundu, Jalan Jambusan, Jalan Siniawan serta sekitar Pekan Bau.
Sepanjang penugasan itu, sebanyak 27 kenderaan dan 33 individu diperiksa, manakala 11 saman PDRM (K) 257 dikeluarkan menerusi penggunaan MCOP/MCAD.
Mohd Haide berkata, rondaan dan pemantauan itu turut memberi tumpuan kepada usaha mencegah kemalangan jalan raya serta membanteras kegiatan samseng jalanan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengawal kelajuan serta mengutamakan keselamatan ketika memandu atau menunggang.
“Jangan tunggu kemalangan baru hendak berubah. Sikap berhemah di jalan raya mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.




