Lelaki ditahan bersama dadah disyaki ganja di Pending

Facebook
WhatsApp
DADAH seberat 1.1 kilogram dirampas daripada suspek.

KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun dan merampas 1.138 kilogram dadah disyaki ganja bernilai kira-kira RM3,410 di Pending, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira 1.30 petang, 26 Ogos lalu.

“Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis THC (tetrahydrocannabinol),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexson berkata semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Suspek direman selama tujuh hari bermula 28 Ogos hingga 3 September bagi membantu siasatan.

Alexson berkata kejayaan tangkapan itu hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang,” katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat kepada hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di talian 017-592 9211.

Oleh Connie Chieng