LAWAS: Hospital Lawas baharu yang dijadualkan dibuka secara rasmi pada 7 September ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh perkhidmatan kesihatan di utara Sarawak, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian.
Beliau berbesar hati berkesempatan meninjau hospital berkenaan bersama pengarahnya, Dr Douglas Chu Kin Soon, menjelang pembukaan rasmi, sambil menyifatkannya sebagai realisasi projek yang sekian lama dinantikan penduduk Lawas.
“Projek ini pada asalnya dijadualkan bermula pada 2011 dan siap pada 2016, namun ia masih belum bermula ketika saya menjadi Menteri Kerja Raya pada 2018,” katanya.
“Antara keutamaan saya ketika itu adalah mendesak supaya projek ini ditender semula, yang berjaya dilaksanakan pada 2019. Hari ini, saya berbangga melihat projek yang tertangguh sekian lama ini akhirnya direalisasikan walaupun berdepan pelbagai cabaran.”
Beliau berkata hospital yang diklasifikasikan sebagai ‘Hospital Berpakar Minor’ itu merupakan fasiliti moden dan mempunyai reka bentuk yang baik, malah antara yang paling maju di Sarawak.
Kapasiti hospital kini meningkat kepada 76 katil biasa, berbanding sebelumnya, selain empat katil tambahan di Unit Kebergantungan Tinggi (HDU), bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk Lawas dan kawasan sekitarnya yang semakin meningkat.
“Paling penting, penduduk tidak lagi perlu ke Limbang, Miri atau Kuching untuk mendapatkan rawatan perubatan yang diperlukan,” katanya.
Baru berkata beliau turut kagum dengan kemudahan yang disediakan termasuk katil pesakit baharu, makmal dan farmasi lengkap, dapur, bilik rekod yang selamat serta ruang dialisis yang diperluaskan kepada lebih dua kali ganda kapasiti sebelumnya.
Beliau berkata Jabatan Kecemasan dan Trauma yang luas turut dilengkapi unit pergigian, manakala Unit Pediatrik mempunyai bilik belajar khas bagi membolehkan kanak-kanak yang menghidap penyakit jangka panjang meneruskan pelajaran dan menduduki peperiksaan.
“Perincian seperti ini menunjukkan pemahaman mendalam terhadap keperluan sebenar pesakit,” katanya.
Bagaimanapun, Baru berkata hospital itu mempunyai kapasiti sehingga 1,014 kakitangan, namun hanya kira-kira 300 jawatan kini telah diisi dan hanya 20 daripadanya merupakan penduduk tempatan.
“Kita memerlukan lebih ramai tenaga profesional perubatan untuk mengoperasikan hospital ini pada kapasiti penuh. Saya menggesa rakyat Sarawak yang berkelayakan, khususnya dari Lawas, untuk pulang dan berkhidmat di sini,” katanya.
Beliau menyifatkan pembukaan hospital baharu itu sebagai peluang yang jarang diperoleh untuk tenaga perubatan berkhidmat di fasiliti baharu dengan kemudahan moden dan persekitaran yang selesa serta berfungsi.
“Kecekapan dan kemahiran anda bukan sahaja mampu mengubah kehidupan, malah membantu membentuk masa depan perkhidmatan kesihatan di Sarawak Utara,” katanya.
Baru turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan, pereka bentuk, kontraktor dan pasukan perubatan yang telah berusaha merealisasikan projek yang sekian lama dinantikan itu.
Beliau turut mendoakan kejayaan Dr Douglas dan pasukannya dalam menerajui institusi kesihatan baharu berkenaan.





