PANTU: Kebakaran belukar berulang di kawasan Pantu hampir merebak ke bahu jalan sebelum berjaya dikawal anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, semalam.
Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 4.00 petang, dengan jarak lokasi kira-kira 66 kilometer dari balai.
Komander Operasi, PBK I Noor Faqriakmal, berkata sebaik tiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran belukar benar-benar berlaku dan berpotensi merebak ke kawasan berhampiran.
“Pasukan dengan memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) lengkap menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki jentera.

“Usaha itu dilakukan bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan berdekatan,” katanya menerusi laporan komander operasi.
Operasi membabitkan sebuah jentera Bomba dan Penyelamat (FRT) dengan kekuatan seorang ketua operasi dan dua anggota.
Dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut berada di lokasi bagi membantu operasi berkenaan.
Menurut laporan itu, keadaan cuaca ketika operasi pemadaman berlangsung adalah hujan lebat, yang turut membantu usaha mengawal kebakaran.

Bagaimanapun, pasukan bomba berdepan beberapa kekangan termasuk liputan komunikasi GIRN (Romeo-2) yang kurang memuaskan selain sumber air terbuka yang jauh dari lokasi kebakaran.
Bomba menegaskan tindakan pantas diambil bagi memastikan kebakaran belukar berulang itu tidak merebak dan mengancam kawasan sekitar serta pengguna jalan raya.
Oleh Adi Safarman




