SPAOH: Operasi memadamkan kebakaran hutan gambut dan kebun sawit di Jalan Bungin-Serembang memasuki hari kelima hari ini, dengan lebih 98 peratus kawasan terjejas berjaya dipadamkan.
Ketua Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan, berkata daripada keseluruhan 35 hektar kawasan terjejas, pihak bomba bersama agensi penyelamat lain telah memadamkan kebakaran melibatkan 34.5 hektar setakat ini.
Panggilan kecemasan diterima pada 22 Ogos lalu sebelum pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong dikerahkan ke lokasi yang terletak sejauh 37 kilometer dari balai berkenaan.
Operasi hari kelima yang bermula seawal 8.05 pagi tadi diketuai Komander Operasi, PBK I Mosihi Buang, serta dipantau Muhammad Rais Adham bersama Pegawai Operasi Zon, PPgB Shaibullah Sabeli dan PBK I Freddy John.
Sektor operasi dibahagikan kepada beberapa pasukan bagi memastikan sisa api di kawasan yang sukar dicapai dapat dipadamkan sepenuhnya.

Pada sebelah pagi, Pasukan 1 dan Pasukan 2 ditugaskan melakukan pemadaman di Sektor E dan F menggunakan satu unit pam bersama saluran hos sepanjang 2,200 kaki serta dua nozel.
Pasukan pemadam turut dibantu jengkaut jenis Kobe 1 dan Kobe 2 yang digunakan untuk membuat pemutus api serta membuka laluan ke sumber air di sektor berkenaan.
Pada sebelah petang, strategi pemadaman diperkukuh apabila Pasukan 1 dan 2 menggunakan empat unit penyembur belakang untuk memadamkan sisa api di bahagian hujung Sektor E dan F.
Sementara itu, Pasukan 3 dan 4 melaksanakan teknik pam geganti dengan mengalirkan air dari parit berdekatan melalui saluran sepanjang 2,200 kaki menggunakan pam ‘bushfire’ bagi memadamkan kawasan tepi Sektor E dan F.
Walaupun menunjukkan perkembangan positif dengan baki kawasan terbakar hanya 0.5 hektar di Sektor A dan C berhampiran jalan serta parit, pasukan penyelamat berdepan cabaran bentuk muka bumi yang sukar dan laluan sempit.

Selain ketiadaan sumber air berhampiran titik kebakaran, masalah liputan Rangkaian Radio Integrasi Kerajaan (GIRN) dan talian telefon yang lemah turut menjejaskan komunikasi di lapangan.
Operasi pemadaman menyeluruh ini melibatkan kekuatan 10 anggota bomba bersama pelbagai aset, termasuk jentera Bomba dan Penyelamat (FRT), lori tangki air, pacuan empat roda Hilux dan van Urvan.
Usaha pemadaman turut diperkasakan dengan kerjasama pelbagai agensi, melibatkan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 17 anggota RELA serta tiga unit jengkaut.
Operasi ditangguhkan pada petang tadi dan akan disambung semula esok bagi memastikan tiada lagi bara api yang berisiko mencetuskan kebakaran semula.
Oleh Adi Safarman





