MIRI: Sebuah stor tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Jalan Maigold, Senadin di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong PBT II Henry Jugah berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 2.11 petang sebelum sebuah jentera bersama tujuh anggota dikerahkan ke lokasi.
“Jentera tiba di lokasi pada 2.17 petang dan operasi pemadaman dimulakan seminit kemudian.
“Kebakaran melibatkan sebuah stor berstruktur tidak kekal yang terbakar 100 peratus, namun tiada kecederaan dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki serta satu nozel air daripada pam pili bomba bagi memadam kebakaran.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 3.01 petang dan operasi tamat pada 3.10 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling





