SKUAD Sarawak United FC (SUFC) kini sedang giat melaksanakan ‘Camp Based Training’ sebagai persediaan menghadapi Liga Malaysia yang kembali bersambung pada 4 Julai nanti.
Ia juga turut melibatkan persiapan perlawanan menentang Selangor FC II yang akan berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 30 Jun ini.
Penolong Pengurus SUFC, Abang Suhordie Abang Zaini pelaksanaan ‘Camp Based Training’ merupakan antara aspek yang menjadi keutamaan pengurusan sesebuah pasukan sebagai langkah kepada pematuhan Prosesur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“SUFC bakal bertemu Selangor FC II pada 30 Jun kelak dan selepas itu, kita akan menanti kunjungan Perak FC ll pada 4 Julai di Stadium Negeri Sarawak,” katanya.
Abang Suhordie menambah, SUFC kini sedang menjalani latihan berpusat bertempat di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Raja Muda, Shah Alam.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu kenyataan media berkata, hanya sembilan pasukan Liga Malaysia (Liga M) telah mendapat lampu hijau bagi menjalani latihan secara ‘Camp Based Training’ sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.
Setakat ini lima pasukan Liga Super – Terengganu, Kedah Darul Aman (KDA), Johor Darul Ta’zim (JDT), Sri Pahang dan UiTM serta empat dari Liga Perdana membabitkan JDT II, Terengganu II, Selangor II dan Sarawak United FC.
Beliau berkata, Liga Perdana pula membabitkan JDT II, Terengganu II, Selangor II dan Sarawak United yang kini boleh menjalani latihan menerusi SOP yang lebih ketat.
Katanya, setiap pegawai dan pemain yang menyertai ‘Camp Base Training’ tidak dibenarkan keluar atau berjumpa dengan individu lain bagi mengelak penularan Covid-19.
“Setiap pasukan wajib mendapat kebenaran daripada MFL untuk mengadakan latihan berdasarkan ‘Camp Based Traning’ dan jika gagal berbuat demikian boleh dikenakan tindakan susulan,” Kata Ab Ghani.
“Kami mahu mewujudkan suasana yang lebih selamat dengan kawalan lebih ketat iaitu tidak mahu pemain atau pegawai dijangkiti Covid-19,”
“Setakat ini, MFL tidak menerima sebarang aduan berkaitan terdapat pasukan menjalani latihan tanpa mendapat kelulusan kita dan jika ada mereka mungkin dikenakan tindakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” ujarnya.
Oleh ADI SAFARMAN