BAU: Lima individu, termasuk seorang wanita, ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A.Rahman berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita berusia antara 26 hingga 47 tahun.
Menurutnya, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik bersama anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau antara 10.00 pagi hingga 1.00 petang.
“Serbuan dijalankan di Kampung Serasot dan di hadapan Restoran Tukang Cafe, Lorong 22, Jalan Kampung Sriieng, Bau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap salah seorang suspek lelaki menemukan satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu.
“Suspek berkenaan ditahan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sementara itu, ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua lima suspek didapati positif dadah.
“Kesemua suspek kemudian ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” jelasnya.
Sehubungan itu, PDRM menegaskan tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah boleh menyalurkannya kepada Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.



