KUCHING: Hujan yang melanda beberapa kawasan Sarawak petang tadi belum menunjukkan pemulihan menyeluruh terhadap kualiti udara apabila lapan kawasan masih merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8.00 malam.
Lubok Antu kekal merekodkan bacaan tertinggi iaitu 193, meningkat tiga mata berbanding 190 pada 4.00 petang, sekali gus masih menghampiri paras 200.
Sementara itu Serian (179), Lundu (175), Sri Aman (172), Tebedu (159), Samarahan (156), Sarikei (154) dan Kuching (153).
Sibu pula merekodkan bacaan 86, Bintulu (86), Mukah (80), Samalaju (76), Miri (75), ILP Miri (73), Kapit (70), Lawas (69) dan Limbang (55), masing-masing dalam kategori sederhana.
Bario pula merekodkan bacaan 46 dan kekal dalam kategori baik.
Secara keseluruhan, lapan kawasan masih berada dalam kategori tidak sihat pada kedua-dua kemas kini 4.00 petang dan 8.00 malam, menunjukkan keadaan kualiti udara masih belum pulih sepenuhnya walaupun hujan berlaku di beberapa lokasi.
MetMalaysia sebelum ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan Sarawak termasuk Lubok Antu, Sarikei, Sibu, Kapit, Bintulu dan Limbang sehingga tengah malam.
Hujan lebat turut dilaporkan berlaku di Kota Samarahan petang tadii selepas kawasan berkenaan diselubungi jerebu sejak beberapa hari lalu.
Namun, perubahan bacaan IPU tidak semestinya berlaku serta-merta selepas hujan kerana bacaan tersebut dikira berdasarkan purata bergerak 24 jam bagi parameter pencemar yang paling dominan.
Oleh Masrin Affirah





