Lelaki 32 tahun ditahan, methamphetamine RM500 dirampas

Facebook
WhatsApp
RAMPASAN dadah jenis methamphetamine seberat 5.30 gram bernilai kira-kira RM500 di kawasan Taman Eastern Park, Kuching.

KUCHING: Seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun ditahan selepas polis menemukan dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 5.30 gram bernilai kira-kira RM500 di kawasan Taman Eastern Park, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, berkata suspek ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, kira-kira 12.00 tengah hari.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap suspek menemukan dadah disyaki jenis methamphetamine seberat 5.30 gram.

“Nilai pasaran rampasan dadah berkenaan dianggarkan RM500.

“Kejayaan tangkapan dan rampasan itu adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, saringan awal air kencing suspek turut didapati positif bagi dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

“Hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah.

“Suspek direman selama empat hari bermula 26 hingga 29 Ogos ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Menurut kenyataan tersebut, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada lima tahun serta sebatan tidak kurang daripada tiga dan tidak lebih daripada sembilan kali.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam pengedaran dadah.

“Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang-undang.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi kegiatan dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah boleh menyalurkannya melalui Hotline JSJN di talian 012-208 7222 atau Hotline JSJN IPK Sarawak di 017-592 9211.