LINGGA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor turun padang meninjau keadaan muka sauk air Stagok susulan gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk di beberapa kawasan sekitar Lingga, hari ini.
Lawatan itu diadakan bagi melihat sendiri keadaan semasa sumber air serta mendapatkan penjelasan berhubung faktor yang menyebabkan gangguan bekalan air berlaku.
Turut bersama dalam lawatan berkenaan ialah Temenggung Mohamad Shah Achang, barisan kepimpinan masyarakat setempat serta Ketua Pemuda.
Menurut Dayang Noorazah, antara perkara utama yang diberi perhatian ialah keadaan sumber air yang mengalami kekeringan, sekali gus memberi kesan kepada proses pengeluaran dan penyaluran bekalan air terawat kepada penduduk.
Beliau berkata, keadaan tersebut memerlukan perhatian sewajarnya supaya tindakan dapat diambil bagi menangani masalah berkenaan dan memastikan bekalan air kepada penduduk kembali stabil.
“Isu bekalan air merupakan keperluan asas rakyat dan akan terus diberi perhatian demi kesejahteraan penduduk di kawasan Lingga,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Sri Aman dalam kenyataan hari ini memaklumkan beberapa kawasan di Daerah Lingga dijangka mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah susulan paras air mentah di muka sauk yang berada pada tahap rendah.
Kawasan yang terjejas termasuk seluruh kawasan Gran Stumbin, Tanjung Buat, Empelanjau, Bakong Melayu, Seduku Agropolitan serta kawasan berhampiran.
Menurut notis gangguan bekalan air tidak berjadual JBALB, keadaan paras air mentah yang rendah itu turut menjejaskan kapasiti pengeluaran air terawat di Loji Rawatan Air (LRA) Stumbin dan LRA Seduku.
“Beberapa kawasan akan mengalami gangguan bekalan air atau tekanan air rendah,” menurut notis berkenaan.
Keadaan itu dijangka terus diberi perhatian bagi memastikan pemulihan bekalan air dapat dilaksanakan sebaik keadaan sumber air kembali mengizinkan.
Oleh Adi Safarman





