SPAOH: Sebanyak 29 hektar daripada keseluruhan 35 hektar kawasan kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin, Serembang, di sini berjaya dipadamkan setakat petang tadi, manakala enam hektar lagi masih berbaki.
Menurut laporan Pasukan Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong, usaha pemadaman diteruskan pada sebelah petang dengan memberi tumpuan kepada kepala api di Sektor F menggunakan sumber air terbuka melalui laluan sepanjang kira-kira 488 meter.
“Kawasan baharu yang terbakar di Sektor E dan F dianggarkan seluas dua hektar, menjadikan keseluruhan keluasan kebakaran kini kira-kira 35 hektar.

“Operasi pemadaman bagaimanapun ditangguhkan pada 6.30 petang berikutan keadaan cuaca semakin gelap dan akan disambung semula esok,” katanya hari ini.
Mengulas lanjut, antara cabaran yang masih dihadapi pasukan operasi ialah laluan yang sukar dilalui dan sempit, ketiadaan sumber air di kawasan terbakar serta liputan GIRN dan rangkaian telefon yang kurang memuaskan.
Operasi hari ini melibatkan 12 anggota bomba dengan kekuatan sebuah FRT, sebuah lori tangki air, sebuah Hilux dan sebuah van Urvan.
Turut membantu operasi ialah lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan 15 anggota RELA.





