KUCHING: Seramai 14 lelaki warga tempatan ditahan dalam operasi bersepadu membanteras aktiviti perlombongan arang batu serta pengorekan dan pemindahan tanah dan pasir yang disyaki melanggar peruntukan Kanun Tanah Sarawak.
Operasi menerusi ‘Op Gali Mega’ itu dijalankan Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak di tujuh lokasi sekitar Kuching, Bau, Samarahan, Sri Aman, Mukah dan Limbang.
Pemeriksaan dilaksanakan selama empat hari bermula 19 hingga 22 Ogos lalu, dengan tiga lokasi dikenal pasti mempunyai aktiviti yang disyaki melanggar undang-undang.
Komander Briged Sarawak PGA, SAC Datuk Lim Bak Phai berkata, hasil operasi turut menyaksikan pelbagai barangan dan peralatan dirampas dengan nilai keseluruhan dianggarkan melebihi RM40.55 juta.
Di Mukah, pemeriksaan di sebuah lokasi pengumpulan dan penyimpanan arang batu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan serta rampasan kira-kira 8,525 tan metrik arang batu.
Turut dirampas ialah empat jengkaut, sebuah kren, dua tongkang dan dua kapal tunda dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM24.46 juta.

Sementara itu, di Kota Samarahan, dua operasi berasingan berkaitan aktiviti pengorekan dan pemindahan tanah serta pengumpulan, pemindahan dan penjualan pasir membawa kepada penahanan 10 lelaki warga tempatan.
Bagi kes pengorekan dan pemindahan tanah, rampasan membabitkan kira-kira 20 tan tanah dalam muatan lori, enam lori serta dua jengkaut.
Dalam operasi berkaitan pasir pula, pihak berkuasa merampas kira-kira 2,986 tan pasir sungai, sebuah kapal tunda, sebuah tongkang, dua lori, sebuah jengkaut dan sebuah penimbang digital.
Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada JTS Bahagian Mukah serta Bahagian Samarahan untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Kanun Tanah Sarawak.
Pihak berkuasa turut mengingatkan pengusaha supaya memastikan setiap aktiviti perlombongan, pengorekan, pemindahan, pengumpulan atau penjualan hasil bumi dilaksanakan mengikut peruntukan undang-undang serta mendapat kebenaran dan kelulusan sah daripada pihak berkuasa.
Briged Sarawak PGA menegaskan kerjasama dengan agensi penguat kuasa berkaitan akan terus diperkukuh bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang, selain memastikan hasil bumi Sarawak terus dilindungi.
Oleh Adi Safarman





