Ribut rosakkan siling Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, pokok tumbang di laluan berlepas

Facebook
WhatsApp
KEADAAN struktur siling di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) rosak akibat angin kencang.

KUCHING: Hujan lebat dan angin kencang yang melanda Kuching petang ini turut menyebabkan sebahagian struktur siling di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) rosak.

Kerosakan berlaku di kawasan laluan mengambil dan menurunkan penumpang, dengan kawasan terjejas segera dikawal bagi memastikan keselamatan pengguna lapangan terbang.

Makluman awal mengenai kejadian itu diperoleh daripada orang awam menerusi hantaran yang kini tular di aplikasi Facebook, namun maklumat lanjut berkaitan kejadian berkenaan masih belum diperoleh dan pihak berkaitan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Tinjauan di lokasi setakat ini menyaksikan kakitangan lapangan terbang dilihat sibuk mengemas dan mengalihkan kepingan struktur yang roboh sebelum dimasukkan ke dalam lori.

POKOK tumbang di laluan menuju ke kawasan menurunkan penumpang bagi penerbangan di LTAK. Foto Nur Hazwani Abdul Rahman

Selain itu, sebatang pokok turut tumbang di laluan menuju ke kawasan menurunkan penumpang bagi penerbangan, dipercayai akibat angin kencang.

Keadaan itu berlaku ketika ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa kawasan Kuching pada petang ini, selepas keadaan cuaca berjerebu dan panas sebelum hujan turun.

METMalaysia pada 3.27 petang turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang melibatkan Kuching dan Bau di Sarawak sehingga 5.00 petang.

METMalaysia turut merekodkan ramalan cuaca Kuching hari ini dengan keadaan berjerebu pada sebelah pagi sebelum ribut petir pada sebelah petang.

Oleh Masrin Affirah