Empat hektar kebun terbakar di Nanga Bangkit, api berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
USAHA PEMADAMAN...Anggota APM, JBPM dan Bomba Sukarela bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di kawasan kebun tanah gambut seluas kira-kira empat hektar di Nanga Bangkit, Betong, semalam. Foto APM Spaoh

SPAOH: Kira-kira empat hektar kawasan kebun tanah gambut di Nanga Bangkit terbakar dalam kejadian semalam, menyebabkan Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Bomba Sukarela dikerahkan ke lokasi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten Mohammad Noor Ini, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 2.06 petang berhubung kejadian itu sebelum empat anggota APM Spaoh bergerak ke lokasi.

Menurutnya, anggota APM tiba di kawasan kejadian kira-kira 2.18 petang bagi membantu operasi pemadaman serta mengawal kebakaran daripada terus merebak.

“Kebakaran melibatkan kawasan kebun tanah gambut dengan keluasan dianggarkan empat hektar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ANGGOTA bomba dan APM menggunakan pancutan air untuk memadamkan kebakaran di kawasan kebun tanah gambut seluas kira-kira empat hektar di Nanga Bangkit, Betong, semalam. Foto APM Spaoh

Operasi turut melibatkan empat anggota Bomba Betong dan empat anggota Bomba Sukarela yang bersama-sama membantu memadamkan kebakaran di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, usaha pemadaman turut mendapat bantuan orang awam yang berada di kawasan sekitar bagi memastikan api tidak merebak ke kawasan lebih luas.

Hasil tindakan pantas semua agensi terlibat, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya sebelum operasi di lokasi ditamatkan kira-kira 3.20 petang.

Bagaimanapun, operasi berdepan beberapa cabaran, termasuk cuaca panas, kekurangan sumber air serta keadaan jalan kebun yang berbukit.

KEADAAN kawasan kebun tanah gambut seluas kira-kira empat hektar di Nanga Bangkit, Betong, yang terbakar dalam kejadian semalam. Foto APM Spaoh

Jarak perjalanan ke lokasi dianggarkan tiga kilometer sehala, sekali gus memerlukan anggota menggunakan kenderaan yang sesuai untuk meredah laluan kebun.

Empat anggota APM yang terlibat ialah Sarjan Kamarrul Badarudin, Prebet Kenneydic Sigai Mathew Gerik, Prebet Junai Abdul Samat dan Prebet Nuramadanie Noorizam.

Kejadian itu turut menjadi peringatan kepada pemilik kebun dan penduduk supaya lebih berhati-hati ketika cuaca panas bagi mengelakkan kebakaran tanah atau belukar daripada merebak dengan pantas.

Oleh Adi Safarman