Kebakaran belukar seluas 0.4 hektar di Jalan Bukit Penyauk berjaya dipadamkan

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar seluas kira-kira 0.4 hektar di Jalan Bukit Penyauk, Skait, Lingga berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan BBP Sri Aman, petang semalam. Foto: BBP Sri Aman

SIMANGGANG: Kebakaran belukar seluas kira-kira 0.4 hektar di Jalan Bukit Penyauk, Skait, Lingga berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, petang semalam.

Menurut kenyataan media BBP Sri Aman, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.44 petang sebelum sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 26 kilometer dari balai.

Operasi diketuai PBK I Mohd Fadhli Buyong dengan kekuatan anggota menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) Scania, sebuah pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) serta Toyota Hilux.

PASUKAN BBP Sri Aman menjalankan operasi memadam kebakaran belukar seluas kira-kira 0.4 hektar di Jalan Bukit Penyauk, Skait, Lingga, petang semalam. Foto BBP Sri Aman

Setibanya di lokasi, pasukan bomba mengesahkan berlaku kebakaran belukar dengan keluasan kira-kira 0.4 hektar seperti yang dilaporkan.

Pasukan kemudian membuat penilaian keadaan sebelum membentangkan aliran air bagi mengawal dan memutuskan pergerakan api.

Sebanyak dua aliran air, masing-masing sepanjang kira-kira 300 kaki dengan satu nozel, digunakan untuk operasi pemadaman.

Selain itu, satu lagi aliran air sepanjang 300 kaki turut dibentangkan menggunakan sebuah pam angkut GP10/10 dengan sumber air terbuka dari parit berhampiran.

OPERASI pemadaman kebakaran belukar di Jalan Bukit Penyauk, Skait, Lingga mengambil masa kira-kira empat jam sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya. Foto BBP Sri Aman

Kaedah ‘fire-break’ turut dilaksanakan bagi menghalang api daripada terus merebak ke kawasan sekitarnya.

Operasi pemadaman mengambil masa kira-kira empat jam sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya dan keadaan disahkan selamat.

Operasi ditamatkan pada 5.45 petang selepas pasukan memastikan tiada lagi bahaya atau kemerbahayaan lain di lokasi.

Bagaimanapun, pasukan berdepan beberapa kekangan termasuk liputan komunikasi yang lemah, akses ke lokasi yang sempit dan tidak sesuai untuk jentera besar serta sumber air yang terhad.

BBP Sri Aman menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap risiko kebakaran belukar, khususnya ketika keadaan kering, dan segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran kepada pihak berkuasa.

Oleh Adi Safarman