Jerebu beralih hujan lebat, angin kencang di Kota Samarahan

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KOTA SAMARAHAN: Selepas beberapa hari diselubungi jerebu, langit di sekitar Kampung Baru, Kota Samarahan, bertukar apabila hujan lebat disertai angin kencang melanda kawasan itu pada 4.00 petang ini.

Keadaan cuaca berkenaan turut mengubah suasana sekitar kawasan itu apabila hujan turun selepas langit sebelum ini kelihatan kabur akibat jerebu.

Setakat ini, kualiti udara di beberapa kawasan Sarawak masih berada pada tahap tidak sihat, dengan lapan stesen merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat setakat jam 4 petang, termasuk Samarahan yang mencatat bacaan 155.

Dalam perkembangan berkaitan cuaca, METMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan Sarawak pada 3.00 petang susulan keadaan cuaca yang tidak stabil petang ini.

Amaran terkini METMalaysia melibatkan Mukah, Miri, Bintulu serta Sibu, termasuk Selangau dan Kanowit.

Bagaimanapun, Kota Samarahan tidak disenaraikan dalam amaran ribut petir berkenaan, meskipun hujan lebat dan angin kencang dilaporkan berlaku di sekitar Kampung Baru petang ini.

Perubahan cuaca itu memberi kelegaan daripada keadaan berjerebu yang sebelum ini menyelubungi beberapa kawasan di Sarawak. Namun, orang ramai dinasihatkan supaya terus berhati-hati terhadap perubahan cuaca secara mendadak.

Oleh Masrin Affirah