56 kontinjen meriahkan Maulidur Rasul DUN Kabong tanpa perarakan

Facebook
WhatsApp
DATO Mohd Chee Kadir ketika hadir pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN N.40 Kabong Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di Masjid Assabirin Kabong. Foto ADUN Kabong

KABONG: Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN N.40 Kabong Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi tetap berlangsung meriah apabila 56 kontinjen menyertai pertandingan sepanduk sebagai alternatif susulan perarakan yang terpaksa ditiadakan akibat keadaan cuaca berjerebu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, sambutan pada tahun ini berlangsung dalam suasana berbeza, namun keadaan itu tidak mematahkan semangat masyarakat untuk bersama-sama menghayati sambutan Maulidur Rasul.

Menurutnya, kemeriahan sambutan tetap terserlah menerusi penyertaan 56 kontinjen dalam pertandingan sepanduk yang dibahagikan kepada tiga kategori.

“Sambutan Maulidur Rasul tahun ini sememangnya berlangsung dalam suasana berbeza kerana perarakan tidak dapat diadakan susulan keadaan jerebu.

SAMBUTAN Maulidur Rasul Peringkat DUN N.40 Kabong Tahun 1448 Hijrah/2026 di Masjid Assabirin Kabong pagi tadi. Foto ADUN Kabong

“Namun begitu, kemeriahan sambutan tetap terserlah dengan penyertaan 56 kontinjen dalam pertandingan sepanduk,” katanya.

Sambutan yang berlangsung di Masjid Assabirin Kabong itu turut dihadiri isteri beliau, Datin Meryani Yassin, ketua-ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum, ketua kontinjen, ahli jawatankuasa penganjur serta umat Islam sekitar Kabong.

Seawal 8.00 pagi, kesemua kontinjen menghantar sepanduk masing-masing ke pekarangan Masjid Assabirin sebelum pertandingan dihakimi pada 8.30 pagi.

Majlis rasmi kemudiannya bermula pada 10.30 pagi dan disusuli persembahan serta bacaan zikir oleh beberapa kumpulan zikir sekitar Kabong.

Chee Kadir berkata, tema sambutan ‘Ummah Maju Makmur’ amat bertepatan dengan kehidupan masyarakat di Sarawak yang menikmati suasana aman, maju dan makmur.

Katanya, konsep ummah maju turut dapat dilihat melalui kepelbagaian penduduk, budaya dan latar belakang masyarakat yang mampu hidup bersama secara harmoni, saling menghormati serta bekerjasama.

Bagi Kategori A yang melibatkan jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, swasta serta institusi pendidikan, SMK Kabong muncul johan, diikuti SK Abang Leman Kabong sebagai naib johan dan SK Kampung Alit di tempat ketiga.

Kategori B pula menyaksikan Persatuan Belia Kabong muncul johan, manakala Surau Khairul Ummah Kampung Hulu Sessang dan Alumni SK Abang Leman Kabong masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Bagi Kategori C yang melibatkan JKKK dan KMKK, JKKK Kampung Baru Darat Kabong muncul johan, diikuti JKKK Kampung Hulu Tengah Kabong sebagai naib johan dan JKKK Kampung Hilir Darat Kabong di tempat ketiga.

Setiap johan menerima piala dan wang tunai RM1,000, manakala naib johan menerima RM700 dan tempat ketiga RM500, selain piala masing-masing.

Kesemua 56 kontinjen turut menerima saguhati penyertaan sebanyak RM200 setiap satu sebagai penghargaan atas komitmen dalam memeriahkan sambutan.

Chee Kadir berkata, sambutan itu bukan sahaja menjadi wadah menyemarakkan kecintaan terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW, malah memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.

Walaupun tanpa perarakan, semangat masyarakat Kabong tetap terserlah melalui penyertaan dalam pertandingan sepanduk dan pengisian keagamaan, selaras dengan aspirasi ‘Ummah Maju Makmur’.

Oleh Adi Safarman