Warga emas 87 tahun hilang rumah, rayu bantuan tempat tinggal baharu

Facebook
WhatsApp
SEDIH... Warga emas Padi Tassim ketika dikunjungi oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus bersama rombongan semalam.

BEKENU: “Kalau saya mempunyai masalah jantung ketika menerima panggilan telefon dan mendengar berita rumah saya hangus terbakar, entah apa yang akan berlaku kepada saya.

“Ketika kejadian, saya berada di pasar. Seorang penduduk kampung yang menemui saya memberitahu bahawa rumah saya telah hangus terbakar. Ketika itu, saya berasa hampir pengsan.”

Mangsa kebakaran rumah, Padi Tassim, 87, berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak di rumah anaknya yang terletak bersebelahan dengan lokasi kejadian kebakaran.

“Selepas menerima berita itu, saya terus diusung masuk ke dalam kereta untuk pulang ke kampung.

“Setibanya saya di kampung, rumah sudah musnah sepenuhnya dan barangan penting tidak sempat diselamatkan. Nasib baik penduduk kampung segera membantu memadamkan api yang marak pada dinding rumah anak saya yang terletak bersebelahan dengan rumah saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Masyarakat Zon Tiris, Penghulu Kassim Sahak yang juga anak kepada mangsa, berharap bantuan segera dapat disalurkan, khususnya bagi menyediakan tempat tinggal baharu untuk ibunya.

“Saya ingin merayu kepada pihak berwajib supaya dapat membantu dengan segera, terutama menyediakan tempat tinggal. Maklumlah, orang tua seperti ibu saya tidak mahu tinggal bersama anak-anak. Dia mahu tinggal sendiri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta memastikan semua api dipadamkan sepenuhnya sebelum meninggalkan rumah atau kawasan kebun.

Langkah berkenaan penting bagi mengurangkan risiko kebakaran, terutama ketika cuaca panas dan kering yang boleh menyebabkan api merebak dengan cepat.

Oleh Adum Liu