83 penduduk Rumah Linggi Empading Bakas sertai PBB

Facebook
WhatsApp
SAKSI... Datuk Rosey Yunus menyaksikan penyerahan kad keahlian daripada Ketua PBB Ranting Pakut Bekelit Tr Richard Pei kepada Tr Linggi Empading di Rumah Linggi, Bakas, petang semalam.

BEKENU: Seramai 83 penduduk Rumah Linggi, Empading Bakas menerima kad keahlian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), sekali gus menyatakan sokongan untuk bersama-sama dalam perjuangan parti.

Penyerahan kad berkenaan menjadi tanda penghargaan kepada ahli baharu yang memilih untuk menyertai PBB serta bersama-sama menyokong agenda dan pembangunan Sarawak.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus berkata, wakil PBB menzahirkan penghargaan atas penyertaan kumpulan besar berkenaan serta menyifatkannya sebagai satu nikmat kebersamaan dalam perjuangan parti.

Menurutnya, walaupun setiap individu mempunyai sejarah dan latar belakang masing-masing, keputusan untuk bersama dalam satu kumpulan membuktikan semangat perpaduan serta kebersamaan dalam menyokong pembangunan negeri.

Beliau berkata, perjuangan dan kerja untuk rakyat tidak seharusnya hanya dilakukan ketika musim pilihan raya, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Menjelang pilihan raya yang semakin hampir, kita perlu memperkukuh usaha dan gerak kerja, namun kerja kita bukan hanya untuk pilihan raya. Kita bekerja sepanjang masa demi rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahan Kad Keahlian PBB di Rumah Linggi, Empading, Bakas, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi PBB Cawangan Bekenu turut menekankan kepentingan sokongan rakyat terhadap dasar kerajaan kerana tanpa sokongan tersebut, pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dan dasar yang dirancang mungkin berdepan cabaran.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan peruntukan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM50,000 kepada Rumah Linggi, selain menyentuh beberapa inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak, khususnya dalam aspek kebajikan ibu dan anak serta usaha membantu anak-anak Sarawak mendapatkan status kewarganegaraan.

Katanya, usaha memastikan golongan yang belum mempunyai status kewarganegaraan mendapat pengiktirafan sewajarnya perlu diteruskan agar mereka turut dapat menikmati manfaat dan kemudahan yang disediakan untuk rakyat Sarawak.

Penyerahan 83 kad keahlian itu turut mencerminkan sokongan penduduk Rumah Linggi, Empading, Bakas terhadap PBB serta komitmen untuk terus bersama-sama memperkukuh perjuangan parti dan pembangunan Sarawak.

Pada majlis itu, Rosey turut menyerahkan borang permohonan keahlian PBB kepada Tr Roselind.

Hadir sama Tuai Rumah (TR) Linggi Empading, Tr Richard Pie, Tr Ridun, Tr Roselind, Tr Lani, Tr Jambai, Tr Rajit, Tr Buli, Tr Christopher Banyong, Tr Selan dan Pengerusi PBB Ranting Selanyau Rashid Yakup.

Oleh Adum Liu