KABONG: Kejayaan dua anak jati Kabong melakar pencapaian membanggakan dalam acara petanque pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 membuktikan daerah itu tidak ketandusan bakat sukan berpotensi tinggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir, menzahirkan ucapan tahniah kepada Watziq Zulfiqrie Dahlan yang berjaya merangkul pingat emas dalam acara berkenaan.
Watziq bersama gandingannya, Muhamad Irfan Syazani Fazarullah, mencipta kejutan dalam aksi final yang berlangsung di Arena Petanque, Kompleks Sukan Kuala Selangor.
Gandingan itu mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan pasangan pilihan dari Johor, Mohammad Afi Najmi Mohamad dan Muhammad Aidil Akmal Yahya, dengan kemenangan 13-7.

Chee Kadir menyifatkan kejayaan tersebut sebagai satu pencapaian amat membanggakan, lebih-lebih lagi apabila Watziq dan Muhamad Irfan berjaya menewaskan pasangan yang mempunyai pengalaman serta berstatus pemain kebangsaan.
Menurutnya, kejayaan itu membuktikan anak-anak muda dari Kabong memiliki bakat, kemampuan dan potensi untuk bersaing di pentas sukan peringkat kebangsaan.
“Ini satu kejayaan yang amat membanggakan dan di luar jangkaan. Ia membuktikan anak muda Kabong mampu bersaing dan mencipta kejayaan di peringkat tertinggi,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi anak jati Kabong, Muhamad Aiman Hazwan Abdul Kadir, turut mencipta kejayaan apabila menyumbangkan pingat perak dalam acara petanque pada temasya Sukma berkenaan.
Kedua-dua atlet tersebut ditemui ketika menghadiri Sambutan Maulidur Rasul Peringkat DUN Kabong di Masjid Assabirin Kabong pagi tadi.
Mereka merupakan sebahagian daripada kontinjen Kelab Boules Kabong yang membawa nama daerah itu ke pentas Sukma Selangor 2026.
Chee Kadir turut merakamkan penghargaan kepada Watziq dan Muhamad Aiman Hazwan atas pencapaian yang mengharumkan nama Kabong.
Beliau berharap kejayaan tersebut menjadi pencetus semangat kepada lebih ramai anak muda di daerah berkenaan untuk menceburi bidang sukan dan mengembangkan bakat masing-masing.
Katanya, pencapaian dua atlet itu juga menunjukkan bahawa dengan komitmen, latihan dan kesungguhan, anak-anak muda dari kawasan luar bandar mampu berdiri sama tinggi dengan atlet dari negeri lain.
Kejayaan Watziq meraih emas dan Muhamad Aiman Hazwan membawa pulang perak sekali gus mengukuhkan nama Kabong sebagai antara daerah yang mampu melahirkan bakat sukan untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Oleh Adi Safarman





