SARATOK: Walaupun perarakan Maulidur Rasul tidak dapat dilaksanakan akibat keadaan jerebu, semangat memperingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW tidak seharusnya terhenti, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri.
Beliau berkata, keputusan membatalkan perarakan perlu dilihat dari sudut hikmah kerana aspek keselamatan dan kesihatan peserta, khususnya kanak-kanak serta warga emas, perlu diutamakan.
“Walaupun kita tidak dapat bersama-sama berarak pada hari ini, semangat Maulidur Rasul tidak pernah terhenti.
“Yang lebih penting daripada perarakan ialah menghidupkan sunnah, akhlak dan ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis kesyukuran sempena sambutan Maulidur Rasul Tahun 2026 Peringkat Daerah Saratok di Masjid Al Muhtadin, pagi tadi.
Mohamad Duri berkata, Maulidur Rasul bukan sekadar acara tahunan memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, sebaliknya menjadi ruang untuk umat Islam bermuhasabah dan menilai sejauh mana akhlak serta perjuangan Baginda diterapkan dalam kehidupan seharian.
Katanya, Rasulullah SAW bukan sahaja seorang nabi yang membawa risalah Islam, tetapi turut menjadi pemimpin, negarawan, pendidik, ketua keluarga, sahabat dan pembina masyarakat.
“Baginda berhadapan dengan penolakan, penghinaan, ancaman dan pelbagai cabaran, namun Baginda tidak membalas keburukan dengan keburukan.
“Baginda membina masyarakat dengan iman, ilmu, akhlak, persaudaraan, keadilan dan kasih sayang,” katanya.
Mohamad Duri berkata, nilai yang dibawa Rasulullah SAW itu juga mempunyai kaitan rapat dengan agenda pembangunan Sarawak, khususnya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Katanya, pembangunan tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan kemajuan fizikal dan ekonomi, tetapi mesti diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat.
“Di Saratok, rakyat mahu pembangunan yang nyata. Mereka mahu jalan yang lebih baik, bekalan air dan elektrik yang stabil, capaian internet yang lebih baik, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti serta peluang kepada anak-anak muda
“Mereka juga mahu pertanian memberikan pendapatan yang lebih baik dan pembangunan sampai ke kampung-kampung, bukan hanya tertumpu di bandar,” katanya.
Beliau berkata, prinsip pembangunan yang menekankan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar selari dengan nilai yang diajarkan Rasulullah SAW.
Dalam pada itu, Mohamad Duri turut menyeru rakyat supaya mengutamakan pendekatan sederhana, rasional dan berhemah dalam menangani isu berkaitan hak Sarawak, termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta sumber asli dan industri minyak dan gas.
Katanya, kepentingan Sarawak perlu terus diperjuangkan, namun penyelesaiannya hendaklah dibuat melalui rundingan, saluran perundangan dan mekanisme Persekutuan yang sewajarnya.
“Kita mahu hak dan kepentingan Sarawak dipertahankan, tetapi pada masa sama kita mahu semuanya diselesaikan dengan kebijaksanaan, keadilan dan semangat federalisme yang matang.
“Pertikaian tidak semestinya menjadikan kita musuh dan perbezaan pendirian tidak semestinya memutuskan persaudaraan,” katanya.
Mohamad Duri turut mengangkat kepelbagaian kaum, agama dan budaya sebagai kekuatan utama Sarawak yang perlu terus dipelihara.
Beliau berkata, semangat kehidupan bersama yang berteraskan keamanan, tanggungjawab, keadilan dan saling menghormati yang dapat dilihat melalui Piagam Madinah juga relevan dengan realiti masyarakat Sarawak.
“Kita tidak perlu menjadi sama untuk hidup bersatu. Kita boleh berbeza dalam agama, budaya dan tradisi, tetapi kita tetap boleh bersatu sebagai rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Maulidur Rasul wajar dijadikan titik perubahan untuk memperbaiki diri, memperkukuh institusi keluarga, mempererat perpaduan dan membina masyarakat yang lebih berilmu serta berakhlak.
“Marilah kita jadikan sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar peringatan terhadap sejarah kelahiran Rasulullah SAW, tetapi sebagai titik perubahan untuk memperbaiki diri, memperkukuhkan keluarga, mempererat perpaduan dan membina masyarakat.
“Kekuatan sebenar ialah iman dan persatuan, kepimpinan sebenar ialah amanah dan keadilan, manakala kemajuan sebenar ialah apabila rakyat hidup lebih sejahtera, bermaruah dan saling menghormati,” katanya.
Oleh Adi Safarman





