KUALA LUMPUR: Pemimpin ASEAN digesa segera melaksanakan semakan peringkat tinggi terhadap Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan dan menggubal pelan tindakan serantau lebih kukuh, tempoh masa yang jelas serta dikuatkuasakan bagi mengelakkan keadaan jerebu daripada bertambah buruk.
Aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye berkata krisis jerebu rentas sempadan yang berulang tidak boleh lagi dianggap sebagai masalah bermusim, sebaliknya ASEAN perlu beralih daripada pendekatan bertindak balas kepada langkah pencegahan serta memperkukuh kesiapsiagaan serantau.
Beliau berkata perjanjian yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada 10 Jun 2002 dan mula berkuat kuasa pada 2003, telah dilaksanakan selama lebih dua dekad namun rantau ini masih berdepan dengan masalah kebakaran yang berulang, jerebu rentas sempadan dan kemerosotan kualiti udara.

“Kita mesti berhenti menganggap jerebu sebagai rutin tahunan ASEAN. Jerebu bukan sekadar masalah cuaca. Ia merupakan masalah tadbir urus, alam sekitar, kesihatan awam dan tanggungjawab serantau.
“Selepas lebih 20 tahun, ASEAN mesti bergerak daripada sekadar janji dan membuktikan bahawa kerjasama serantau benar-benar mampu melindungi rakyat Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lee berkata ASEAN Specialised Meteorological Centre telah memberi amaran bahawa keadaan El Nino yang semakin menguat, taburan hujan di bawah paras normal dan angin lazim boleh meningkatkan risiko titik panas serta jerebu rentas sempadan di rantau selatan ASEAN.
Bagaimanpun, beliau berkata El Nino tidak harus dijadikan alasan kerana ia adalah fenomena iklim semula jadi, sebaliknya kebakaran hutan dan tanah yang berpunca daripada aktiviti manusia telah menjadikan cuaca kering sebagai krisis serantau.
Antara langkah segera yang beliau cadangkan ialah dengan memperkukuh dan mengkaji semula pelaksanaan perjanjian serantau mengenai jerebu, termasuk menetapkan sasaran yang jelas dan boleh diukur bagi mencegah kebakaran, mengurangkan titik panas serta menghapuskan punca berulang pencemaran rentas sempadan.
Lee turut menggesa tindakan terhadap syarikat atau individu yang bertanggungjawab terhadap pembakaran terbuka dan pembukaan tanah secara haram dipertingkatkan, selain mewujudkan mekanisme untuk siasatan, perkongsian bukti dan penguatkuasaan apabila kebakaran menyebabkan kesan rentas sempadan.
Pada masa sama, beliau mencadangkan penubuhan mekanisme tindak balas jerebu serantau yang kekal, melibatkan pemantauan satelit secara masa nyata, perkongsian maklumat mengenai titik panas dengan segera, keupayaan pemadaman kebakaran secara bersama serta pembahagian tanggungjawab yang jelas ketika episod jerebu serius.
Beliau berkata negara ASEAN juga perlu mewujudkan sistem pencegahan dan amaran awal bersama sebelum bermulanya musim kering, memperkukuh kerjasama dalam pengurusan tanah gambut dan hutan, serta meningkatkan ketelusan dalam perkongsian maklumat mengenai titik panas, punca kebakaran dan tindakan penguatkuasaan.
Lee berkata Malaysia dan negara lain yang terjejas, perlu bersedia untuk membangkitkan isu berkenaan secara tegas di peringkat tertinggi ASEAN, sambil menegaskan usaha menangani masalah itu bukan bertujuan menyalahkan atau mencampuri urusan mana-mana negara, sebaliknya bagi memastikan kesihatan dan kesejahteraan semua pihak terpelihara.
– Bernama





