Sambutan Mauliur Rasul disambut sederhana di Marudi

Facebook
WhatsApp
JUARA…Datuk Dr Penguang Manggil menyampaikan hadiah kepada wakil Surau At-Taqwa dan JKK Kampung Narum yang mendapat tempat pertama dalam Pertandingan Sepanduk bagi kategori Surau / Masjid.

MARUDI: Majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Marudi tahun 1448H diraikan sederhana yang telah dilangsungkan di Masjid As-Salam Marudi hari ini.

Dianggarkan lebih 200 umat Islam hadir pada majlis tersebut dan tetamu kehormat yang turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil dan Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Marudi Rose Edward Tarang.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Aktiviti Islam Daerah Marudi (JATAIM ) Fazzwan Yunus dalam ucapana aluan beliau berkata sambutan Maulidur Rasul diadakan untuk mengenang jasa dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang insan yang tinggi keperibadian dan tiada tolok tandingannya yang perlu dijadikan ikon perpaduan ummah.

WAKIL Dato Sharif Hamid menerima hadiah pertama yang disampaikan Datuk Dr Penguang Manggil pemenang bagi ketegori sekolah menegah  / sekolah rendah.

Sambutan ini juga katanya dapat memperingati dan menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada junjungan Rasulullah SAW.

Justeru itu tambah beliau, selaku umat Nabi Muhammad SAW, wajar untuk sentiasa mengenang perjuangan Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam.

Dalam pada itu sempena sambutan Maulidur Rasul 2026, sebanyak 14 peserta menyertai Pertandingan Sepanduk bagi kategori agensi kerajaan di mana Pejabat Pendidikan Daerah Baram muncul juara bagi kategori ini.

Tempat kedua disandang Pejabat Daerah Marudi dan RELA Marudi di tempat ketiga.

 TAHNIAH…Wakil Urusetia Saudara Kita daerah Marudi yang mendapat di tempat kedua menerima hadiah disampaikan Datuk Dr Penguang Manggil.

Bagi kategori surau / masjid, tempat pertama dimenangi Surau At-Taqwa dan JKKK Kampung Narum sementara di tempat kedua dan ketiga masing-masing disandang Urusetia Saudara Kita Daerah Marudi danSurau Ar-Rahman Kampung Dato Haji Zain Galau Padang Kerbau Marudi.

Manakala bagi kategori sekolah menengah / rendah, tempat pertama dimenangi AS- Habul Syarif, tempat kedua disandang SMK Marudi dan SMK Telang Usan di tempat ketiga.

Oleh Jiku Juguong