TIMBALAN Pengerusi Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak, Dato Sri Lau Kueng Chai berterima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana telah bersetuju untuk memberi vaksin kepada para olahragawan dan olahragawati sukan taekwondo supaya mereka boleh divaksin lebih awal.
Beliau berkata, ini jelas membuktikan bahawa pihak berkenaan amat memahami akan keperluan di sesuatu bidang sukan, termasuklah sukan taekwondo.
“Kami dari Persatuan Taekwondo Negeri Sarawak amat berterima kasih kepada pihak yang berkenaan kerana bersetuju untuk memberi vaksin kepada para olahragawan dan olahragawati sukan taekwondo, agar mereka ini dapat divaksinasi lebih awal,” katanya dalam kenyataan beliau semalam.
Lau menyatakan bahawa banyak pertandingan taekwondo peringkat antarabangsa beransur-ansur dianjurkan pada ketika ini.
“Pertandingan peringkat antarabangsa tersebut termasuklah Piala Eropah UEFA dan Sukan Olimpik (yang akan dianjur pada bulan Julai di Jepun),”.
Beliau berkata, oleh sebab itulah para olahragawan dan olahragawati taekwondo perlu divaksinasi lebih awal dahulu supaya mereka berpeluang untuk menghadiri pertandingan di peringkat antarabangsa tersebut.
“Setelah divaksinasi, risiko dijangkiti mungkin dapat dikurangkan, terutama semasa mereka berkumpul untuk berlatih dengan penekanan SOP diberi penekanan serta diikuti secara ketat.
“Selain daripada itu, selepas divaksinasi, mereka juga akan lebih yakin serta dapat memberi tumpuan dan perhatian sepenuhnya pada sesi latihan,” tegas Lau.
Beliau menambah, dengan itu, pihak mereka akan dapat menyiapkan jadual latihan untuk para olahragawan dan olahragawati taekwondo berdasarkan pada jadual pertandingan taekwondo peringkat antarabangsa dengan lancar.
Lau berkata, oleh kerana Sukan Olimpik diadakan pada bulan Julai, maka adalah sangat bertepatan sekali para olahragawan dan olahragawati taekwondo diberi vaksinasi lebih awal agar mereka tidak terlepas peluang untuk mengikuti acara tersebut.
“Ini adalah kerana para olahragawan dan olahragawati taekwondo, terutama sekali pemain yang muda, patut diberi ruang serta peluang keemasan menghadiri pertandingan diperingkat antarabangsa supaya mereka berpeluang memperolehi pengalaman yang amat bermakna dari aspek praktikal,” katanya.
“Sarawak mempunyai para olahragawan dan olahragawati taekwondo yang berpotensi tinggi,”.
“Para olahragawan taekwondo Sarawak telah mendapat keputusan yang begitu cemerlang dalam Chuncheon Korea G2 Taekwondo Open, iaitu dengan memperolehi 4 anugerah emas dan 1 anugerah gangsa. Keputusan tersebut membuktikan keupayaan para pemain kita sudah mencapai tahap dunia,” tegas beliau.