SPR terima 133 representasi berhubung syor persempadanan semula Sarawak

Facebook
WhatsApp
FOTO janaan AI.

KUCHING, 8 Oktober: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menerima sebanyak 133 representasi daripada pihak berkepentingan berhubung Syor Kajian Semula Persempadanan (KSP) Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri di Sarawak.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, kesemua representasi tersebut diterima sepanjang tempoh Pameran Syor Kajian Semula Persempadanan yang berlangsung selama sebulan, bermula 1 hingga 30 September lalu.

Menurutnya, penerimaan representasi itu merupakan sebahagian daripada proses kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya di Sarawak.

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi kenyataan media SPR hari ini.

Untuk rekod, kajian semula persempadanan kali ketujuh di Sarawak melibatkan cadangan penambahan 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), menjadikan jumlah keseluruhan 99 kerusi berbanding 82 ketika ini.

Kajian tersebut turut melibatkan cadangan perubahan sempadan dan nama beberapa kawasan pilihan raya, manakala jumlah kerusi Parlimen Sarawak kekal sebanyak 31 kerusi.